KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) Perlis menghormati keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi gabungan berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Dalam kenyataan hari ini, pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim memohon maaf kepada Muhyiddin atas apa-apa kesalahan.
“Sesungguhnya kepimpinan Tan Sri memberi kejayaan besar kepada PN dalam PRU yang lepas. Jasa besar tetap dikenang. Semoga Allah SWT merahmati,” katanya.
Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan selama beliau memimpin PN sejak penubuhannya lima tahun lalu.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti anggotanya,” katanya.
Terdahulu, media yang memetik sumber dalaman Bersatu melaporkan Muhyiddin memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan di dalam kumpulan WhatApps Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Bagaimanapun, dakwanya, hasrat Muhyiddin itu dibantah sejumlah ahli-ahli MPT Bersatu yang meminta beliau menariknya semula.
Katanya, beberapa ahli MPT Bersatu turut berpandangan bahawa jalan peyelesaian terbaik kepada kemelut politik yang sedang melanda ketika ini adalah dengan Muhyiddin kekal sebagai Pengerusi PN selaku pengasas Bersatu dan PN. – MalaysiaGazette
















