KUALA LUMPUR – Keseluruhan peruntukan tambahan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM4 bilion yang diumumkan oleh perdana menteri telah selesai diproses dan dikreditkan dalam tempoh 9 hingga 24 Disember 2025 yang melibatkan 110,074 kes.
Menurutnya, sehingga 24 Disember 2025, LHDNM telah memproses bayaran balik cukai berjumlah RM19 bilion dan melibatkan 3,632,003 kes.
Sejumlah RM15 bilion bayaran balik dibuat dari 1 Januari – 8 Disember 2025, tambahan RM4 bilion dibayar antara 9-24 Disember lalu.
Dana tambahan RM1 bilion pertama yang diperuntukkan telah berjaya menyelesaikan tunggakan bayaran balik yang berusia melebihi tiga tahun tanpa mengambil kira jumlah yang terlibat.
Manakala dana RM3 bilion berikutnya telah selesai diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun bayaran balik yang berusia dua ke tiga tahun dengan tumpuan diberikan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“LHDNM menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada LHDNM adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.
“Ini kerana terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul. Selanjutnya juga, tiada bayaran balik dapat diproses kerana melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai
mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Tambah LHDNM, pihaknya akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dan keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan PKS. – MalaysiaGazette















