Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR – Semua pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat nasional atau negeri yang dilantik Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar meletakkan jawatan dalam Perikatan Nasional (PN) demi adab berorganisasi dan setiakawan politik.

Aktivis Bersatu, Daud Ibrahim berkata, ia termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Ketua Pembangkang, bagi memberi laluan kepada penstrukturan semula PN di bawah kepimpinan Pas sepenuhnya.

Menurutnya, tindakan itu bukan satu protes atau sikap merajuk oleh pemimpin Bersatu, sebaliknya merupakan kematangan dalam berpolitik.

“Jika PAS benar-benar bersedia memimpin, maka PAS juga harus bersedia memikul keseluruhan amanah, tekanan, kritikan dan risiko yang datang bersama dominasi tersebut.

“Kepimpinan sebenar tidak diuji ketika senang, tetapi ketika semua tanggungjawab diserahkan sepenuhnya ke bahu sendiri,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Daud, secara realiti, Bersatu juga adalah parti minoriti dari sudut angka dan struktur berbanding Pas yang merupakan parti dominan serta terkuat dalam PN.

Jelasnya, hakikat itu diterima dengan terbuka dan tanpa rasa tersinggung oleh ahli dan pemimpin Bersatu.

Namun, ujarnya, dominasi bukan sekadar soal bilangan kerusi atau kekuatan jentera, sebaliknya datang bersama tanggungjawab.

Malah, tambah beliau, dominasi juga menuntut keberanian memimpin secara penuh, bukan sekadar menjadi kuasa penentu tanpa memikul beban sebenar kepimpinan.

“Atas prinsip itu, adalah wajar PAS mengetuai Perikatan Nasional secara menyeluruh, termasuk memikul jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

“Kepimpinan tidak seharusnya bersifat selektif, mengambil manfaat kuasa tetapi menyerahkan tekanan dan risiko kepada rakan gabungan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast