Pertukaran MoU antara UMS dan JAKIM sempena Himpunan Huffaz 2025 di Bagan Datuk bagi memperkukuh pendidikan tahfiz negara.

BAGAN DATUK — Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai usaha pemerkasaan pendidikan tahfiz negara menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU)
bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sempena Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara baru-baru ini.

UMS diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dalam pemeteraian MoU tersebut yang melibatkan Program Pensijilan Tahfiz al-Quran Jakim–UMS yang akan dilaksanakan oleh Fakulti Pengajian Islam UMS dengan kerjasama Pusat Islam UMS.

Kerjasama tersebut membuka laluan pendidikan dan pensijilan huffaz secara lebih sistematik serta selari dengan keperluan semasa pendidikan tinggi dan
pembangunan modal insan negara.

Secara keseluruhan, sebanyak 10 dokumen MoU dimeterai pada majlis tersebut yang melibatkan Jakim bersama jabatan agama Islam negeri, institusi pengajian tinggi
dan institut kemahiran menerusi tiga inisiatif utama iaitu Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat, Program Pensijilan Tahfiz al-Quran serta Sijil Perakuan Hafazan Bertahap.

Inisiatif berkenaan memberi peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz untuk melanjutkan pengajian bukan sahaja dalam bidang pengajian Islam, malah merentasi bidang profesional dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pada majlis itu turut berlangsung perasmian Standard Pengiktirafan Huffaz yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Diraja Ahmad Zahid
Hamidi.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan Standard Pengiktirafan Huffaz yang bermula pada 2026 akan menjadi penanda aras penting bagi memastikan
kualiti institusi tahfiz.

“Negara memerlukan huffaz yang bukan sahaja unggul dalam hafazan al-Quran, malah mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengumumkan pemberian insentif RM50,000 kepada 10 institusi tahfiz terbaik berdasarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM),
melibatkan jumlah keseluruhan RM500,000 sebagai galakan kecemerlangan institusi tahfiz negara.

Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir serta Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast