KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya berasa terlalu gembira dengan hakikat Kerajaan Perpaduan kelihatan jauh lebih utuh berbanding pembangkang yang kini sedang dilanda perpecahan.
Bekas pemimpin DAP, P. Ramasamy berkata, Anwar yang juga Perdana Menteri mungkin terlupa berkenaan usaha beberapa pemimpin UMNO yang merupakan sebahagian Kerajaan Perpaduan dan Pas untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Menurut Presiden Urimai itu, sekiranya MN berjaya dihidupkan semula, besar kemungkinan Kerajaan Madani hari ini akan runtuh.
Dalam masa sama, ujarnya, Anwar juga tidak boleh berpura-pura tidak mengetahui ketegangan yang terus membara antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Ia kata beliau, khususnya berhubung sikap sesetengah pemimpin DAP terhadap kegagalan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperoleh perintah tahanan rumah.
Ujar beliau, pertelagahan mengenai isu itu mendorong beberapa pemimpin UMNO untuk mencari perdamaian dengan Pas bagi menghidupkan semula MN.
“Persoalannya ialah apakah yang begitu stabil tentang gabungan pemerintah semasa yang disatukan oleh kuasa, jawatan dan pelbagai keistimewaan?
“Selain daripada manfaat-manfaat tersebut, tiada apa yang mengagumkan tentang kerajaan yang diterajui oleh Anwar.
“Hanya menunggu masa sebelum kuasa-kuasa sentrifugal melemahkan apa yang disebut sebagai perpaduan Kerajaan Madani,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Anwar dalam sidang akhbar menzahirkan rasa syukur apabila muafakat dalam Kerajaan Madani disifatkan semakin kukuh, ikhlas dan bebas daripada sebarang usaha sabotaj atau pengkhianatan.
Kenyataan Anwar itu dibuat selepas diminta mengulas mengenai situasi politik membabitkan kerajaan pimpinan pembangkang di Perlis.
Sementara itu, Ramasamy berkata, selagi isu perundangan melibatkan Najib tidak diselesaikan, Anwar akan terus berdepan masalah dengan UMNO.
“DAP pula semakin kelihatan seperti albatros yang membebani leher kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















