Ahmad Adnan Fadzil

KUALA LUMPUR – Pas belum mampu menang dengan kekuatan sendiri sepenuhnya, justeru memerlukan gabungan bagi menampung kekurangan tersebut.

Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil berkata, buat masa ini, gabungan paling ideal ialah bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), maka Perikatan Nasional (PN) wajar dikekalkan.

Menurutnya, meskipun Pas kuat dari sudut jentera dan akar umbi, namun masih ada beberapa kekuatan penting yang belum dimiliki sepenuhnya, seperti keyakinan sebahagian rakyat dan faktor kemesraan politik.

Tambahnya, kemenangan Pas selama ini banyak dibantu oleh faktor calon, kelemahan parti lawan serta polemik isu semasa.

“Saya kekal dengan pendirian bahawa tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa yang melibatkan kepimpinan Pas Perlis, termasuk tiga orang YB yang dihentikan keahlian.

“Begitu juga BERSATU, yang pada hemat saya tidak terlibat langsung dalam kemelut ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Jelasnya, punca utama kemelut di Perlis adalah kegagalan pihak yang sepatutnya berperanan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Ujarnya, kegagalan berunding secara berkesan dengan pihak istana bagi pihak Pas, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan hasrat menukar Menteri Besar atas alasan salah laku terhadap baginda, akhirnya menyebabkan baginda terpaksa bertindak menggunakan budi bicara sepenuhnya.

Dakwanya, akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani bukan dibuat di luar dan kemudian dibawa mengadap Tuanku Raja, sebaliknya ditandatangani di hadapan Tuanku Raja sendiri.

“Kejadian ini tidak akan berlaku sekiranya pihak yang diamanahkan memainkan peranan dengan sebaiknya sejak awal,” katanya.

Menurut Ahmad Adnan, beliau juga dimaklumkan pada saat-saat terakhir sebelum pengisytiharan Menteri Besar Perlis baharu daripada Bersatu, Tuanku Raja masih membuka peluang untuk Menteri Besar tersebut datang daripada Pas.

“Namun, ADUN-ADUN PAS gagal memainkan peranan sewajarnya apabila diajukan pilihan oleh Tuanku Raja,” katanya.

Dalam masa sama, ujarnya, beliau turut difahamkan tiada sebarang baiah ditandatangani oleh calon-calon Pas Perlis semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sehubungan itu, tambahnya, perkara itu wajar disiasat dan diperjelaskan secara telus.

“Oleh itu, dalam kemelut ini, meletakkan keseluruhan kesalahan ke atas BERSATU adalah tidak adil.

“Risikonya ialah tercetus desakan-desakan yang tidak perlu, termasuk perletakan jawatan yang juga sebenarnya boleh dielakkan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berpandangan tidak ada mana-mana pihak yang perlu meletakkan jawatan di sebalik kemelut yang berlaku.

“Sebaliknya, ambillah kembali amanah yang ada, nilai semula kesilapan yang berlaku, dan lakukan pembetulan. Itulah jalan yang lebih matang dan bertanggungjawab,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Perlis wajar terus ditadbir seperti sebelumnya, iaitu oleh Perikatan Nasional (PN) dengan barisan Exco daripada gabungan Pas dan Bersatu, dengan perubahan hanya melibatkan jawatan Menteri Besar sahaja.

Dalam masa sama, ujarnya, pilihan raya kecil (PRK) wajar dielakkan kerana dalam keadaan kemelut yang sedang berlaku, PN berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan buat masa ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast