KDNK Terengganu
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Tindakan mencabar Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin supaya menyertai politik hanya kerana tegurannya terhadap Pas disifatkan sebagai bankrap idea.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, perbezaan pandangan oleh Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr. Maza itu sepatutnya dijawab dengan hujah dan idea oleh pemimpin Pas.

Menurutnya, Dr. Maza merupakan mufti yang memberi nasihat kepada semua ahli politik sama ada daripada kerajaan atau pembangkang.

Ujar beliau, Dr. Maza juga dilibatkan secara terus oleh istana dalam menangani krisis Menteri Besar Perlis yang meletakkan beliau sebagai orang yang berkelayakan untuk mengulas dan memberi pandangan.

“Lagipun setahu saya beliau masih lagi ahli Pas dan belum pernah ditamatkan lagi keanggotaannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, dalam kritikan terhadap isu baiah yang tidak lagi diamalkan Pas di Kelantan, Dr. Maza berhujah berasaskan hukum syarak.

Sehubungan itu, ujarnya, pandangan Dr. Maza mengenai isu tersebut wajar dibalas dengan hujah yang setara.

Malah, beliau turut mengingatkan Pas yang mana Dr. Maza sebelum ini juga beberapa kali menyatakan sokongan terhadap pendirian politik Pas.

“Ketika itu beliau tentu dipuji dan ucapan beliau diviral di merata-rata oleh ahli (Pas).

“Tapi apabila beliau berbeza (pandangan), kejiannya boleh tahan juga bercampur dengan makian dan memperlekeh keperibadian.

“Namun, Dr Maza yang saya kenal tidak akan undur dengan kejian dan makian. Makin dikeji makin beliau memperkemaskan hujahan,” katanya.

Sebelum ini, Dr. Maza menjadi sasaran pemimpin dan ahli-ahli Pas susulan pandangan beliau terhadap parti itu berhubung krisis politik di Perlis, selain kritikan terhadap sumpah lafaz baiah yang diamalkan Pas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast