Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi. - Foto: harakahdaily

KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) membuka ruang kepada gabungan politik itu memilih arah baharu yang lebih kukuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, PN hari ini memerlukan hala tuju yang jelas memandangkan rakyat sudah jemu dengan politik yang kabur dan penuh kompromi tanpa prinsip.

Tambahnya, rakyat mahukan kepimpinan yang tegas melawan rasuah, konsisten membela kos sara hidup dan berani mempertahankan nilai tanpa memecah-belahkan masyarakat.

Sehubungan itu, ujar beliau, Pas berada pada kedudukan paling sesuai untuk menjadi tunjang kepimpinan PN, sekiranya gabungan politik itu mahu dilihat stabil, berprinsip dan mampu memimpin negara yang pelbagai.

Menurutnya, kemampuan itu berdasarkan rekod, struktur dan prinsip keadilan yang menjadi asas perjuangan Pas selama ini.

Tambah beliau, kekuatan Pas juga bukan bersifat emosi atau slogan, tetapi berpaksikan struktur parti yang tersusun, sokongan rakyat yang jelas dan pengalaman mentadbir yang telah teruji.

Ujarnya, Pas juga bukan parti bermusim khususnya ketika ada pilihan raya, tetapi bergerak sepanjang masa melalui jemaah, disiplin dan khidmat kepada rakyat.

“Dalam landskap politik yang rapuh dan mudah berubah arah, kestabilan seperti ini menjadi aset paling bernilai kepada sebuah gabungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Tengku Muhammad Fakhruddin, dari sudut mandat rakyat pula, kedudukan Pas dalam PN tidak boleh dinafikan, selain merupakan parti paling dominan dalam PN di Parlimen.

Selain itu, katanya, Pas juga telah membuktikan keupayaan mentadbir dalam realiti masyarakat majmuk, yang mana di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pas dan PN, tiada kaum atau agama dizalimi.

“Prinsip inilah yang membolehkan Pas menjadi kekuatan politik Melayu-Islam tanpa menafikan hak kaum dan agama lain,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast