KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa mengesyorkan pemimpin di semua peringkat dalam parti komponen Perikatan Nasional (PN) bertenang dan jangan saling berbalas kenyataan di dalam media sosial tanpa fakta jelas.
Sebaliknya, kata beliau, kemelut politik yang melanda di dalam PN kini perlu diserahkan kepada kebijaksanaan pimpinan untuk ditangani.
Menurutnya, beliau melihat terlalu banyak penulisan berhubung krisis politik ketika ini yang dibuat bersandarkan spekulasi dan andaian yang tidak tepat.
“Sesungguhnya banyak perkara yang belum dapat di kongsi dengan khalayak. Banyak juga yang kekal sulit demi maslahah yang lebih besar.
“Keadaan lebih gawat dengan banyaknya tersebar berita palsu yang sengaja direka untuk tujuan tertentu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Annuar, usaha memperkasa perjuangan orang Melayu dan umat Islam, serta kaum bumiputera dan rakyat berbilang kaum sudah lama diperjuangkan.
Katanya, ia bukan usaha yang mudah, sebaliknya pelbagai kesukaran telah ditempuhi.
Namun, ujar beliau, akhir-akhir ini dengan pertolongan Allah SWT, banyak perkara menjadi semakin mudah.
“Percayalah kita sedang melakukan satu proses merekayasa dan “reset” yang penting. Ia memerlukan kesabaran. Ia memerlukan pengorbanan,” katanya.
Tambah beliau, apa yang sedang berlaku kini adalah daripada kesedaran pemimpin dan kesediaan untuk membentuk sesuatu yang lebih baik.
“Kadangkala kita memilih pemikiran di luar kotak yang mungkin belum difahami sesetengah pihak.
“Namun, insya-Allah kita akan sampai di satu titik bersama. Harapan dan citarasa rakyat perlu kita utamakan.
“Muafakat kita membawa berkat, insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette
















