KUALA LUMPUR – Tahun 2026 perlu dijadikan tahun perpaduan orang Melayu dan umat Islam, kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Menurut Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri itu, rakyat memerlukan gabungan dan perpaduan Islam Melayu yang lebih luas tidak terhad antara UMNO dan Pas atau Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, ia perlu merangkumi semua pihak termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Tambahnya, pertembungan yang panjang dan perpecahan kuasa politik Melayu sudah cukup merencatkan pembangunan Melayu dan mencemarkan imej Islam yang sentiasa menyeru ke arah kesatuan dan perpaduan.
“Bukan Islam dan bukan Melayu akan bergerak seiring dengan naratif kesatuan Islam Melayu.
“Tiada agenda berlawanan dengan Islam Melayu dan bercanggah dengan perlembagaan yang akan dilontar dan dipromosi lagi oleh DAP dan mana-mana parti selain Melayu Islam,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Mohd Khairuddin, kemelut antara parti-parti Melayu yang bergabung atas semangat sempit menentang parti Islam dan Melayu lain sepatutnya sudah cukup dijadikan pengajaran dan sempadan. – MalaysiaGazette
















