Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menyifatkan cadangan supaya diadakan sesi dialog terbuka antaranya dengan pimpinan Pas sebagai satu cadangan yang menarik serta wajar dipertimbangkan demi manfaat rakyat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas satu cadangan yang dikemukakan oleh seorang pengguna Facebook, Mohd Rizal Azizan yang mencadangkan agar pimpinan tertinggi Pas tampil berdialog secara terbuka berhubung isu-isu yang sering dibangkitkan antara kedua-dua pihak.

“Cadangan yang menarik,” kata Mohd Asri ringkas sebagai reaksi awal terhadap gesaan tersebut.

Dalam kenyataannya, Mohd Rizal mencadangkan agar pimpinan Pas tidak hanya berbahas di media sosial sebaliknya tampil secara bersemuka dalam forum ilmiah dan beradab demi pencerahan kepada rakyat.

“Pas selalu dakwa banyak hujah, apa kata pimpinan Pas pusat dialog dengan Dr Maza tentang hal-hal yang Dr Maza bangkitkan yang Pas tidak puas hati. Rakyat akan dapat ilmu dan manfaat,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan Mohd Asri bersedia menyertai dialog sedemikian sekiranya ia dianjurkan secara terbuka dan berfokus kepada perbincangan ilmiah.

“Saya percaya Dr Maza bersedia. Bagaimana dengan Presiden atau Timbalan Presiden? Bersedia?” katanya lagi.

Mohd Rizal turut menegaskan perbezaan pandangan seharusnya diraikan melalui wacana matang bukan pertelingkahan terbuka di media sosial yang boleh mengelirukan masyarakat.

“Ayuh, daripada kita saling balas membalas di media sosial, ayuh kita tampil di meja perdebatan yang lebih beradab dan ilmiah,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Pas melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Mohd. Asri yang juga dikenali sebagai Maza susulan pandangan beliau terhadap kemelut politik di Perlis selain kritikan terhadap sumpah baiah Pas.

Antaranya Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang enafikan dakwaan Mohd Asri bahawa wujudnya lafaz baiah dan sumpah daripada parti itu yang menuntut pemimpinnya menceraikan isteri, jika berlaku pelanggaran.

Mohd Syahir turut memuat naik teks lafaz baiah dan sumpah itu di akaun Facebooknya, sekali gus membuktikan tiada pernyataan yang menuntut mana-mana ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya menceraikan isteri, jika melompat ke parti lain.

Pada tahun 2005, Mohd Asri sebagai pendakwah muda ketika itu pernah berdebat mengenai wacana pemikiran Islam di Malaysia bersama wartawan dan penganalisis agama, Astora Jabat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast