KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan ‘ribut peletakan jawatan’ dalam Perikatan Nasional (PN) yang berlaku sejak beberapa hari lalu tidak sebesar seperti yang dijangka.
Sambil melahirkan rasa syukur, Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan berkata, ribut yang sama juga tidak berlaku di peringkat kawasan atau Parlimen.
Menurutnya, masih ramai Pengerusi PN Negeri dan kawasan yang terus menggalas mandat masing-masing dan menunggu arahan kerja daripada Pengerusi PN baharu.
“Insya-Allah Perikatan Nasional akan terus mara ke depan dengan semangat baru. Selamat Tahun Baru 2026,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Setakat ini, lima Pengerusi PN Negeri yang kesemuanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletakkan jawatan masing-masing berkuat kuasa hari ini, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN Pusat.
Mereka ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Selangor); Datuk Dr Sahruddin Jamal (Johor); Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak); Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan) dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak).
Sementara itu, tiga lagi Pengerusi PN Negeri daripada Bersatu masih kekal dengan jawatan masing-masing iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Sabah) dan Datuk Dr Radzi Jidin (Wilayah Persekutuan), manakala Pengerusi PN Melaka, Datuk Mas Ermieyati Samsudin semalam menegaskan tidak akan melepaskan jawatannya.
Dalam pada itu, di lima buah negeri iaitu Perlis; Kedah; Kelantan; Terengganu dan Pahang, Pengerusi PN disandang oleh pemimpin Pas yang kekal dengan jawatan masing-masing.
Di Pulau Pinang pula, Pengerusi PN disandang Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau yang turut memilih kekal dengan jawatannya. – MalaysiaGazette
















