AirBorneo

KUCHING – Kerajaan negeri Sarawak memuktamadkan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd melalui entiti milik penuhnya AirBorneo Holdings Sdn Bhd, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

AirBorneo menerusi satu kenyataan hari ini berkata perjanjian jual beli bagi pengambilalihan itu ditandatangani antara Malaysia Aviation Group dan kerajaan negeri Sarawak pada 12 Februari, 2025.

“Berkuat kuasa 1 Januari, 2026, AirBorneo akan mengambil alih tanggungjawab perundangan dan operasi penuh MASwings.
“Semasa fasa peralihan awal ini, penjenamaan MASwings akan diteruskan, sementara AirBorneo melancarkan identiti jenama baharunya secara berperingkat.

“AirBorneo menghargai kerjasama dan sokongan oleh penumpang, rakan kongsi dan pihak berkepentingan sepanjang tempoh peralihan ini,” katanya dalam kenyataan itu.

AirBorneo berkata pengambilalihan itu menyokong objektif strategik kerajaan negeri untuk memperkukuh ketersambungan udara di negeri ini dan memastikan tambang yang berpatutan bagi rakyat Sarawak.

“Ini merupakan langkah penting dalam menyokong agenda pembangunan sosial dan ekonomi negeri dan menyediakan asas bagi fasa pertumbuhan seterusnya AirBorneo.

“Kerajaan negeri Sarawak ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja, rakan kongsi dan pihak berkepentingan atas sokongan mereka sepanjang proses peralihan ini,” katanya.
– BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast