KUALA LUMPUR – Pengamal perubatan yang sudah mengemukakan permohonan lengkap Perakuan Amalan Tahunan (PAT) 2026 sebelum atau pada 31 Disember lalu tetapi masih belum menerima sijil PAT, dibenarkan mengamal tanpa sebarang tindakan dikenakan.
Majlis Perubatan Malaysia (MPM) berkata, kebenaran itu diberikan dengan syarat pengamal perubatan tersebut tidak tertakluk kepada sebarang sekatan, penggantungan atau larangan amalan di bawah mana-mana peruntukan lain Akta Perubatan 1971.
Sambil memohon maaf atas kelewatan memproses dan mengeluarkan Perakuan Amalan Tahunan (PAT) bagi tahun 2026, MMC berkata, keadaan ini berlaku susulan peningkatan mendadak permohonan yang diterima pada penghujung tahun 2025, khususnya melibatkan permohonan yang dikemukakan dengan dokumen sokongan yang diterima lewat.
Menurutnya, bagi permohonan yang lengkap dan mematuhi syarat seperti di bawah Seksyen 20 Akta Perubatan 1971 dan Peraturan 28 Peraturan-Peraturan Perubatan 2017 yang dibuat sebelum atau pada 31 Disember 2025, tarikh kuat kuasa PAT adalah bermula 1 Januari 2026 atau mengikut tarikh perlindungan indemniti profesional dan tidak bergantung kepada tarikh kelulusan atau tarikh sijil dikeluarkan.
“MPM menghargai kesabaran dan kerjasama semua pengamal perubatan dan ingin memastikan bahawa langkah-langkah ini diambil bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, MPM juga akan mengambil langkah-langkah penambahbaikan yang sewajarnya untuk memastikan bahawa permasalahan ini tidak akan berulang pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















