File picture

TINJAUAN Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 melaporkan bahawa satu daripada enam kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental. Lebih
membimbangkan lagi, beban masalah tersebut telah meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding tahun 2019. Salah satu persoalan yang penting untuk difikirkan adalah apakah faktor-faktor penyumbang kepada peningkatan risiko gangguan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak.

Faktor-faktor genetik dan persekitaran boleh menyumbang kepada gangguan kesihatan mental. Walaupun DNA menyediakan kod genetik yang dapat menentukan ciri-ciri seseorang sejak dalam kandungan, interaksi dengan faktor-faktor persekitaran dapat menentukan bagaimana kod-kod genetik itu dibaca dan diekspresikan.
Interaksi tersebut dikenali sebagai epigenetik dan paparan terhadap persekitaran boleh menentukan ekspresi gen tanpa mengubah urutan DNA. Perubahan ini boleh
memberi kesan terhadap perkembangan otak, pengawalan emosi, tindak balas terhadap tekanan, dan kesihatan mental.

Faktor persekitaran seperti trauma pada zaman kanak-kanak merupakan salah satu penyebab yang dapat mengubah ekspresi gen. Trauma boleh terjadi dalam pelbagai bentuk termasuk penderaan (fizikal, mental, dan seksual) dan pengabaian. Lebih membimbangkan lagi, trauma yang terjadi pada fasa tersebut dapat disimpan
di dalam otak untuk jangka waktu yang panjang. Trauma zaman kanak-kanak ini mungkin kembali muncul sewaktu dewasa, terutamanya dalam fasa-fasa kehidupan yang mencabar dan boleh dipindahkan kepada anak-anak yang dilahirkan. Sebagai contoh, kehamilan dan kelahiran merupakan satu tempoh yang mana terdapat perubahan fizikal, emosi, dan mental yang ketara. Gabungan trauma dan perubahan sewaktu kehamilan ini dapat mengaktifkan sistem tindak balas stres seorang ibu secara berlebihan.

Akibatnya, gangguan terhadap kebolehan untuk mengenal pasti emosi yang timbul, memantau dan menguruskan bagaimana sesuatu emosi itu diekspresikan dapat terjadi. Gangguan pengawalan emosi ini dapat menyebabkan reaksi emosi yang berlebihan, perasaan negatif yang melampau, dan kecenderungan untuk menggunakan strategi daya tindak yang tidak sihat. Ketidakstabilan pengawalan emosi juga dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk gejala-gejala kebimbangan dan kemurungan semasa kehamilan dan pada awal tempoh selepas bersalin.

Ini menunjukkan bahawa tekanan yang terjadi pada awal kehidupan tidak semestinya hilang dengan peredaran masa, tetapi boleh kekal dalam otak, menjadikan ibu lebih sensitif terhadap tekanan semasa kehamilan. Lebih membimbangkan lagi, gangguan kesihatan mental yang terjadi dalam fasa perinatal ini boleh memberikan kesan terhadap bayi yang dikandung apabila dilahirkan kelak. Pelbagai kajian melaporkan bahawa tekanan psikologi sewaktu kehamilan seperti kegelisahan, stres, dan kemurungan, boleh menyebabkan pelbagai masalah kelakuan seperti agresif dan hiperaktiviti.

Kekurangan tidur semasa kehamilan juga dikaitkan dengan pelbagai kesan buruk, termasuk kesan terhadap hipokampus bayi, iaitu bahagian otak yang penting untuk
pembelajaran, ingatan, dan pengawalan emosi. Tidur yang mencukupi membantu mengekalkan keseimbangan emosi dan fungsi tubuh secara keseluruhan. Selain itu, laporan lain menunjukkan kepentingan paksi usus-otak, yang menghubungkan pemakanan, keradangan, dan kesihatan mental dengan perkembangan otak janin. Tekanan yang dialami semasa kehamilan boleh mempengaruhi komposisi mikrobiota usus dan profil metabolik kanak-kanak, dengan kesan yang mungkin berterusan sehingga fasa awal kanak-kanak, sekitar usia tiga hingga empat tahun.

Dari aspek nutrisi, mengidam terhadap makanan manis atau tinggi karbohidrat, adalah perkara yang sering terjadi semasa kehamilan. Pengambilan sekali-sekala mungkin tidak mendatangkan kemudaratan. Namun begitu, menjadikan keinginan ini sebagai tabiat harian boleh membawa risiko kesihatan seperti diabetes sewaktu kehamilan. Kajian yang dijalankan di Finland melaporkan bahawa diabetes sewaktu kehamilan berkait rapat dengan masalah perilaku dan psikologi seperti hiperaktif, kegagalan dalam tumpuan dan masalah kelakuan dalam kalangan kanak-kanak lelaki yang berumur lima tahun. Selain itu, kajian lain melaporkan bahawa kanak-kanak yang berumur 3-4 tahun yang dilahirkan oleh ibu yang menghidapi diabetes sewaktu kehamilan mempunyai fungsi bahasa dan memori yang terjejas bagi berbanding kanak-kanak lain.

Walau masa silam tidak dapat diubah, kesedaran ibu pada waktu kini dapat memberikan sinar harapan. Dengan menjadi ibu yang peka dan berpengetahuan, wanita
mempunyai keupayaan untuk memutuskan kitaran trauma yang telah diwarisi secara senyap, yang dapat merentas generasi. Langkah-langkah yang mensasarkan aspek
pengawalan emosi, peningkatan kualiti tidur, dan pemakanan yang seimbang dapat digunakan untuk mengurangkan kesan antara generasi.

Dalam tempoh perinatal, ibu boleh mengambil langkah proaktif untuk melindungi kesihatan mental dan fizikal dengan mengamalkan strategi pengurusan tekanan yang berkesan, seperti eprihatinan pada saat ini dengan sikap terbuka dan tanpa penghakiman (mindfulness). Teknik ini dilaporkan dapat menyokong pengawalan emosi yang lebih sihat.
Terapi tingkah laku kognitif untuk insomnia juga telah terbukti sebagai pendekatan bukan farmakologi yang berkesan dalam merawat gangguan tidur dan mood semasa
tempoh pranatal. Selain itu, pengambilan makanan yang seimbang dapat mencegah dan mengawal penyakit-penyakit yang boleh muncul sewaktu kehamilan seperti diabetes kehamilan.

Kesimpulannya, kesejahteraan ibu bukan hanya penting untuk kesihatan ibu itu sendiri, malah berkait rapat dengan perkembangan otak dan kesihatan masa depan generasi seterusnya. Seorang ibu yang peka tidak ditentukan oleh kesempurnaan, tetapi oleh kesedaran dan niat. Dengan menjaga kesihatan mental, pemakanan, dan tidur semasa kehamilan, ibu bukan sahaja menyediakan persekitaran yang lebih sihat untuk perkembangan otak anak, malah untuk kesejahteraan generasi akan datang.

Oleh: Dr Fitri Fareez Ramli ialah seorang pensyarah perubatan di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dr Fatin Haniza Zakaria merupakan seorang penyelidik di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast