HULU SELANGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kerajaan pimpinan beliau masih berdepan cabaran besar untuk melaksanakan agenda reformasi, khususnya apabila isu perkauman terus dibangkitkan dalam wacana politik negara.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR berkata, kecenderungan melihat isu secara sempit berasaskan kaum menyukarkan usaha membawa perubahan menyeluruh yang berpaksikan keadilan dan perpaduan nasional.
“Apa yang ditakutkan, soal Cina (oleh Melayu) dan sesetengah orang Cina, dia fikir masalah sekolah Cina saja, tiada isu lain dan sesetengah orang India pun begitu,” katanya ketika berucap pada Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan, di sini, hari ini.
Menurut beliau, sikap sedemikian perlu diubah kerana ia tidak membantu dalam membina negara yang stabil dan bersatu, sebaliknya hanya mengukuhkan sentimen sempit yang merugikan semua pihak.
“Sebab itu kita harus ajak Melayu, Cina, India, (kaum) Sabah, Sarawak, boleh bawa isu mereka tetapi lihat dalam kerangka besar Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut membidas pembangkang yang sering mengkritik kerajaan kononnya gagal melaksanakan reformasi.
Menurut perdana menteri, perkara itu tidak dilakukan ketika mereka berada dalam tampuk kuasa.
“Saya tidak mahu ikut pengalaman orang yang sudah lama jadi Perdana Menteri atau Menteri. Bila ada kuasa, tidak buat apa-apa tapi bila tidak ada kuasa, berleter hari-hari. Itu cabaran untuk kita yang berkuasa,” katanya.
Beliau menegaskan, bahawa kerajaan hari ini memilih untuk melaksanakan perubahan meskipun berdepan tekanan dan tentangan daripada pelbagai pihak yang selesa dengan amalan lama.
Menurut Anwar, golongan yang terbiasa dengan rasuah dan salah guna kuasa sememangnya tidak akan senang dengan usaha pembaharuan yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Orang yang biasa dengan rasuah, tidak mungkin menerima kita dengan baik. Orang yang mendukung perasuah, tidak mungkin akan senang dengan kita,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memulihkan kebebasan institusi, termasuk badan kehakiman, juga akan mengundang ketidakpuasan hati pihak tertentu yang pernah mencabul prinsip tersebut.
“Orang yang menceroboh kebebasan badan kehakiman, tidak akan senang dengan keputusan bebas daripada badan kehakiman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















