Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang. Foto SADIQ SANI, 03 JANUARI 2026

HULU SELANGOR – Perjuangan reformasi yang dibawa sejak sekian lama bukan bertujuan mengangkat individu tertentu, sebaliknya menuntut perubahan sistem agar menjadi lebih adil, telus dan berintegriti demi kepentingan rakyat serta negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lantikan menteri dan kedudukan yang dikecapi hari ini adalah hasil keringat, air mata serta pengorbanan panjang rakan-rakan seperjuangan yang tidak pernah luntur semangatnya.

“Perjuangan itu menuntut perubahan, sistem, bukan orang. Perdana menteri dan menteri silih berganti, itu orangnya. Tetapi yang kita tuntut itu, sistem supaya lebih adil,” katanya ketika berucap pada Hari Keluarga dan Rapat Reformasi Kebangsaan, di sini, hari ini.

Mengulas realiti politik semasa, Anwar mengingatkan, Kerajaan Perpaduan yang ditadbirnya kini tidak memiliki majoriti mutlak, justeru menuntut pendekatan yang lebih matang dan berhati-hati dalam membuat keputusan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan perlu mentadbir secara waras dan bijaksana melalui rundingan serta musyawarah dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan.

“Ini bukan mudah kerana masing-masing parti ada keutamaan mereka, jadi kita harus mengemudi dengan bijak.

“Tapi satu hal yang tak boleh kita sangkal, kita tegak untuk bawa perubahan, tolak rasuah, tolak penyelewengan, tolak keangkuhan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar mengakui usaha membanteras rasuah serta memulihkan kebebasan institusi negara bukan sesuatu yang mudah dan sering berdepan tentangan daripada pihak tertentu.

Justeru, katanya, kuasa yang diamanahkan kepada kerajaan hari ini mesti digunakan dengan penuh kebijaksanaan, ketegasan dan tanggungjawab.

“Orang yang biasa dengan rasuah tidak mungkin menerima kita dengan baik, orang yang telah menceroboh kebebasan badan kehakiman tidak akan senang dengan keputusan yang bebas,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast