KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah jenis syabu seberat lebih satu kilogram dalam satu operasi khas di hadapan sebuah pusat penyimpanan sejuk beku sekitar kawasan Jalan Chong Thien Vun, Tawau, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek warga asing berusia lingkungan 19 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.15 malam ketika memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), IPD itu menjalankan pemantauan selama kira-kira hampir 15 minit sebelum menahan kenderaan terbabit.
“Hasil pemeriksaan pihak polis menemukan satu bungkusan plastik hitam mengandungi satu paket plastik yang di dalamnya terdapat bahan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat berjumlah 1,009.47 gram bernilai kira-kira RM35,000,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai penghantar dadah.
“Siasatan juga mendapati suspek mengaku dadah berkenaan miliknya dan dia berperanan sebagai ‘runner’ dengan upah puluhan juta rupiah untuk membawa bekalan tersebut ke negara jiran,” katanya.
Katanya lagi, dalam masa yang sama polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah telefon bimbit, kunci kenderaan serta beberapa barang kemas yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
Ujarnya, suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette
















