MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh digesa bersikap jujur dan terus terang bukan menggunakan alasan kononnya ‘garis merah’ Melayu serta Islam telah dilanggar untuk membawa UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat mendakwa hakikat sebenar tindakan Dr Akmal didorong oleh keputusan Mahkamah Tinggi membabitkan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, tindakannya berulang kali mendesak UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan adalah reaksi terhadap kegagalan mendapatkan keputusan memihak kepada Najib termasuk berhubung isu permohonan adendum serta sabitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Sebab itulah, saya minta YB Dr Akmal lebih berterus terang sahaja, tak perlulah mereka alasan garisan merah Melayu Islam yang dilanggar.
“Hakikatnya kamu nak bawa UMNO keluar sebab Mahkamah Tinggi tak setuju dengan adendum Najib Razak dan Mahkamah Tinggi sabitkan dakwaan 1MDB ke atas Najib Razak. Itu sahaja punca kamu nak keluarkan? Jujur dan terus terang sahajalah,” katanya dalam dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ashraf, dakwaan Kerajaan Perpaduan gagal menjaga kepentingan Melayu dan Islam adalah tidak munasabah memandangkan UMNO telah menjadi sebahagian daripada kerajaan selama hampir tiga tahun serta menerajui beberapa kementerian utama.
“Sepanjang tempoh itu, UMNO memegang portfolio penting termasuk pembangunan desa dan wilayah, pertahanan, perdagangan antarabangsa, pendidikan tinggi serta undang-undang dan menikmati jawatan Menteri Besar di Pahang dan Perak.
“Kerajaan Perpaduan sudah tiga tahun…banyak kerja dan dibuat untuk Malaysia, untuk orang Melayu dan untuk Islam. Sekarang baru tiba-tiba nak wujud naratif Melayu dan Islam garis merah dilanggar atau terancam? Jangan buat jenaka la,” sinisnya.
Tambahnya, jika benar parti itu serius dengan pendirian tersebut, beliau mencabar UMNO agar memulakan langkah keluar Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri khususnya di Melaka terlebih dahulu.
“Kalau Dr Akmal rasa susah nak desak abang-abang UMNO di Pusat untuk letak jawatan Menteri, kita mula lebih dekat di Melaka dahulu.
“Pergi jumpa Ketua Menteri Melaka atau dalam mesyuarat Exco negeri Melaka nanti, minta singkirkan Pakatan Harapan Melaka daripada Kerajaan Melaka. Apa nak takut kan? Benda yang mudah patut dimulakan dahulu.
“Jangan pula nak cabar Pakatan Harapan Melaka yang patut keluar. Kami tak sibuk-sibuk nak rosakkan perpaduan, kamu itu yang bersungguh-sungguh,” tambahnya.
Menurutnya, Amanah Melaka tidak akan menghalang sebarang keputusan UMNO sama ada untuk kekal atau meninggalkan Kerajaan Perpaduan, namun mengingatkan agar isu Melayu dan Islam tidak dijadikan alasan politik sempit.
“Pendirian kami mudah sahaja, nak keluar tu silakan, kami bentang karpet merah. Nak teruskan berkerja untuk rakyat bersama Kerajaan Perpaduan pun kami dah lama lebihkan.
“Berhenti main hipokrasi garis merah Melayu Islam. Nafsu politik UMNO itu tak sama dan bukan sama sekali isu Melayu Islam,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
















