KUALA LUMPUR – Gesaan terbuka Pemuda UMNO supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Madani dan bekerjasama dengan Pas jelas bersifat retorik politik yang tidak bertanggungjawab serta berpotensi mengelirukan rakyat.
Bahkan, timbul persoalan sama ada kenyataan dan tekanan politik yang semakin melampau itu ada kaitan dengan perkembangan terkini melibatkan dua keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
Sedangkan, hakikat yang tidak boleh disangkal adalah Pemuda UMNO tidak mempunyai sebarang mandat rakyat apabila gagal memenangi walau satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya lalu, kata Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Ezal Abdul Qaiyum Zamri.
Tanpa mandat demokrasi, tegasnya, Pemuda UMNO seharusnya muhasabah diri dan bertanggungjawab, bukannya bertindak seolah-olah mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju kerajaan atau menggugat kestabilan politik negara.
“Kerajaan Perpaduan dibentuk atas kehendak rakyat dan keperluan negara demi menjamin kestabilan pentadbiran, pemulihan ekonomi serta kebajikan rakyat.
“la bukan medan untuk mengalihkan perhatian daripada isu dalaman parti atau perkembangan peribadi mana-mana tokoh politik melalui naratif ugutan keluar masuk kerajaan yang bersifat sensasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ezal, sekiranya Pemuda UMNO benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan kepentingan rakyat, fokus utama seharusnya diberikan kepada usaha membina semula keyakinan rakyat dan memperkukuh kepercayaan awam, bukannya terus bermain politik emosi dan provokasi murahan.
Ujarnya, negara memerlukan kematangan politik dan kepimpinan yang berprinsip, bukan reaksi berlebihan yang akhirnya merugikan rakyat dan negara. – MalaysiaGazette
















