KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sebanyak 97 pusat panggilan (call centre) penipuan dalam talian dan menahan 1,070 individu menerusi beberapa operasi bersepadu sepanjang tahun 2025 hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur dan JSJK Bukit Aman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 600 warga tempatan dan 470 warga asing ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara melibatkan premis kediaman yang dijadikan pusat operasi haram sindiket penipuan.
Turut dirampas kata beliau, 2,845 unit peralatan telekomunikasi yang digunakan untuk menghubungi mangsa serta wang tunai berjumlah RM5,067,818.
“Siasatan awal mendapati, semua individu yang ditahan merupakan pekerja sindiket dan terlibat dalam pelbagai modus operandi penipuan, termasuk tawaran pekerjaan palsu, pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud serta bentuk penipuan lain yang menyasarkan mangsa di dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil menjelaskan, kejayaan operasi tersebut membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa dan memberi kesan besar kepada masyarakat.
Beliau menegaskan, usaha penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengekang kegiatan sindiket penipuan, selain menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran mencurigakan, khususnya melalui panggilan telefon atau platform dalam talian. – MalaysiaGazette
















