KUALA LUMPUR – Cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal serta pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya disifatkan sebagai reformasi institusi yang kritikal bagi mengelakkan penumpuan kuasa dalam pentadbiran negara.
Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, langkah yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu penting untuk memperkukuh mekanisme semak dan imbang institusi negara.
“Langkah-langkah reformasi ini adalah kritikal bagi mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh dalam institusi negara, di samping mengelakkan penumpuan atau monopoli kuasa dalam jawatan-jawatan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kor Ming berkata, kerajaan Madani turut berhasrat memperkukuh kepercayaan awam dan ketelusan pentadbiran menerusi pembentangan Rang Undang-Undang Akta Kebebasan Maklumat 2026.
“Kerajaan Madani berhasrat untuk memperkukuh kepercayaan awam serta prinsip ketelusan melalui pembentangan Rang Undang-Undang Akta Kebebasan Maklumat 2026 dengan memberikan akses yang lebih luas kepada rakyat terhadap maklumat serta keputusan kerajaan,” ujarnya.
Menurut beliau, akta berkenaan dijangka melengkapkan peranan Majlis Media Malaysia dalam memastikan akses kepada maklumat yang tepat dan relevan.
“Akta ini dijangka melengkapkan peranan Majlis Media Malaysia dalam memastikan akses kepada maklumat yang tepat dan relevan, sekali gus melahirkan masyarakat Madani yang mampu membuat keputusan penting dan berinformasi,” katanya lagi.
Selain itu, kata Kor Ming, pengumuman sempena Amanat Perdana Menteri Tahun 2026 itu merupakan kesinambungan kepada reformasi institusi yang telah dilaksanakan kerajaan sepanjang tiga tahun lalu.
Antara pencapaian yang disenaraikan ialah penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 dan Akta Perolehan Kerajaan 2025.
Beliau turut merujuk pindaan perlembagaan berkaitan pemberian kewarganegaraan secara automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia sebagai langkah memperkasa hak wanita dan kesaksamaan gender.
“Reformasi yang sedang rancak dilakukan oleh kerajaan ini bukan sahaja menunaikan janji manifesto, malah akan meningkatkan tahap ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam sistem pentadbiran serta perundangan negara,” jelasnya.
Tegas beliau lagi, kerajaan Madani kekal komited meneruskan agenda reformasi institusi demi memperkukuh demokrasi, kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik. -MalaysiaGazette















