Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bercakap pada sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Laman Hijau, Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang, Presint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 JANUARI 2025

PUTRAJAYA – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman menegaskan, walaupun pimpinan dan akar umbi parti Melayu itu tidak semuanya ‘alim’, namun budaya Melayu dan Islam masih dijadikan asas penubuhannya.

Beliau berkata, walaupun Parti Islam SeMalaysia (Pas) cuba menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dan mahu ‘merujuk’ UMNO, namun parti itu mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan hala tuju yang lebih baik kelak.

“Saya rasa orang kalau nak bercerai ataupun nak nikah balik ke, dia mesti ada masa edah kan? Takkan nak cakap hari ini nak bercerai, nak cakap pasal nak bercerai semalam dah lafaz, tak boleh lah tu. Nak bercerai, cakap betul-betul, bincang.

“Dalam keluarga, suluk kalau dalam Islam. Bagi saya, UMNO, parti yang dari 1946, kita sudah melalui macam-macam cabaran. Insya-Allah kepimpinan dalam UMNO ni mempunyai kebijaksanaan mereka sendiri.

“Bermula dengan Biro Politik, kemudian kita ada PAU pada minggu depan. Saya rasa UMNO selalu bermusyawarah, walaupun ahli UMNO tak semua nampak alim, tapi budaya-budaya Melayu dan Islam yang kita pakai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 28 Disember lalu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta ahli dan penyokong UMNO supaya menghidupkan semula semangat MN sebagai asas perpaduan ummah menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Sanusi berkata, kerjasama antara Pas dan UMNO penting bagi menjamin kestabilan politik negara khususnya di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, Pas sentiasa bersikap terbuka menerima sokongan daripada ahli UMNO yang mahu bersama perjuangan parti itu walaupun mereka masih kekal berorganisasi dalam UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast