Sumber FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR -Kerajaan MADANI akan meneruskan usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran dengan memperkemas birokrasi, mempercepatkan pendigitalan  perkhidmatan awam, dan menyegerakan projek-projek rakyat seperti membaiki sekolah dan klinik daif, menutup jalan berlubang serta menambah lampu jalan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam masa sama, kebajikan rakyat kekal sebagai teras pentadbiran MADANI.

Jelas beliau, ini dilaksanakan menerusi bantuan bersasar, sokongan kos sara hidup, peningkatan gaji penjawat awam serta inisiatif pendidikan dan kesihatan bagi memastikan hasil pertumbuhan ekonomi kembali kepada rakyat.

Katanya, kesemua langkah tersebut saling melengkapi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, memperkukuh keyakinan pelabur, dan memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara lebih adil oleh seluruh rakyat.

“Alhamdulillah, pagi tadi saya telah menyampaikan hala tuju dan inisiatif yang akan menggerakkan pentadbiran Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini.

“Usaha reformasi kekal menjadi tunjang untuk membina semula institusi negara dan memastikan pimpinan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Anwar, antara reformasi utama yang akan dilaksanakan ialah pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.

Katanya, langkah-langkah ini penting bagi mengukuhkan asas negara hukum yang lebih telus dan berintegriti.

“Semoga usaha reformasi dan inisiatif untuk rakyat ini mengukuhkan usaha kita untuk menjamin masa depan Malaysia yang lebih adil dan bermaruah untuk semua,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast