KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin tertinggi UMNO enggan berkongsi perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik parti itu walaupun mengambil masa hampir tiga jam yang berlangsung sejak pukul 4 petang tadi di Menara Dato’ Onn, Dagangan Dunia Putra (WTC) di sini hari ini.
Mereka berlalu keluar ke pintu hadapan bangunan tanpa memberi sebarang kenyataan jelas berhubung intipati dalam mesyuarat tersebut walaupun ditanya petugas media.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh berkata, Setiausaha parti, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menghormati peraturan mesyuarat parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh juga tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Bagus, bagus,” katanya ringkas.
Sementara itu, Mesyuarat Biro Politik UMNO itu telah dipengerusikan oleh presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di mana antara pemimpin yang kelihatan adalah dua naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Difahamkan, mesyuarat tersebut membincangkan tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah selain Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung minggu depan.

Sabtu lalu, ketika Konvensyen Khas Pemuda UMNO, sayap parti itu menolak sebarang usaha merampas kuasa dan ‘menebuk atap’ sehingga mengakibatkan Kerajaan Perpaduan yang memimpin negara ketika ini tumbang.
Sebaliknya, Mohamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu menggesa UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang. – MalaysiaGazette
















