Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR — Pas mewajibkan semua calon pilihan raya berbaiah kepada kepimpinan pusat selepas kelayakan peribadi dan keilmuan mereka diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak dan ia berkuat kuasa sebaik sahaja calon dilantik ke sebarang jawatan selepas pilihan raya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, menurut ketetapan parti, pemilihan calon ditentukan oleh kepimpinan Pas Pusat sebelum baiah diadakan kepada pemimpin pusat atau wakil yang dilantik sahaja.

Malah calon yang memenangi pilihan raya dan dilantik sebagai wakil rakyat di peringkat Parlimen, Dewan Negara atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tertakluk kepada baiah dan sumpah yang diucapkan serta diwajibkan mentaati arahan kepimpinan pusat dalam pentadbiran negara, negeri atau parti.

“Ketetapan itu turut merangkumi pelantikan jawatan oleh Pas Pusat seperti Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pesuruhjaya negeri-negeri yang diberikan kuasa melalui perlembagaan parti.

“Baiah berkenaan mewajibkan ketaatan dalam semua urusan dan arahan parti selagi tidak bercanggah dengan perkara maksiat,” katanya menerusi hantaran Minda Presiden Pas di Facebook beliau hari ini.

Abdul Hadi berkata, Pas juga menetapkan sebarang salah laku berkaitan agama atau pentadbiran parti boleh dikenakan tindakan disiplin oleh Jawatankuasa Disiplin Pas atau secara langsung oleh Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat.

Tambahnya, baiah dianggap sebagai kewajipan dalam perkara tertentu yang ditetapkan parti, khususnya bagi mematuhi arahan atau pelantikan oleh kepimpinan pusat dan peringkat berkaitan.

“Setiap calon pilihan raya, diwajibkan melafazkan baiah dan qasam (sumpah) di hadapan kepimpinan yang ditugaskan, termasuk janji tidak mengkhianati perjuangan dan tidak menentang arahan pemimpin tertinggi parti dengan ketetapan bahawa pelanggaran baiah dalam perkara bukan maksiat boleh membawa implikasi disiplin seperti yang diperuntukkan oleh parti,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast