Chew (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan 1,600 kilogram makanan kucing premium bernilai RM48,000 daripada Purina Malaysia dengan kerjasama Cat Supermarket kepada Norashikin di Paya Rumput, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang pecinta haiwan berjaya menyelamatkan kira-kira 400 ekor kucing jalanan sepanjang tahun lalu dengan majoriti kes melibatkan anak kucing yang dibuang.

Norashikin Ahmad, 32, berkata, operasi menyelamat itu dijalankan di pelbagai lokasi di seluruh Melaka sekali gus mencerminkan tahap serius masalah haiwan terbiar di negeri ini.

“Kebanyakan penyelamatan adalah melibatkan anak kucing yang ditinggalkan dan jumlah 400 ekor ini sebenarnya amat membimbangkan.

“Jumlah ini dianggap tinggi bagi tempoh setahun dengan kebanyakan kucing diselamatkan dari kawasan awam serta beberapa kompaun pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Norashikin selepas menerima sumbangan 1,600 kilogram makanan kucing premium bernilai RM48,000 daripada Purina Malaysia dengan kerjasama Cat Supermarket di Paya Rumput di sini hari ini.

Sumbangan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu disampaikan pengasas Cat Supermarket, Datuk Chew Chert Fong.

Mengulas lanjut, Norashikin berkata, kerja menyelamat yang dilakukannya turut melibatkan pengambilan kucing liar dari kompaun majlis perbandaran sebelum ditempatkan di pusat perlindungannya untuk dijaga dan dipulihkan.

“Melalui sumbangan ini, dapatlah ia mengurangkan beban kewangan kami serta memastikan haiwan-haiwan ini mendapat makanan berkhasiat.

“Ini memandangkan kos makanan merupakan antara perbelanjaan terbesar dalam menguruskan pusat perlindungan,” tambahnya yang mengendalikan sebuah pusat perlindungan khas bersebelahan rumahnya di Alor Gajah.

Pusat itu menempatkan puluhan ekor kucing dan kira-kira 50 ekor anjing sejak 2014. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast