Oleh: Nik Saiful Adli Burhan
ISU seramai 36 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Arab Saudi akibat kegagalan sebuah agensi pelancongan sekali lagi membuktikan masalah penipuan dan lepas tangan dalam industri pelancongan, khususnya umrah dan ziarah, masih belum ditangani secara tuntas dari sudut perundangan.
Walaupun isu seumpama ini telah berulang kali berlaku sejak bertahun-tahun, ia terus berulang kerana kegagalan sistem undang-undang dan penguatkuasaan untuk memberikan isyarat yang jelas bahawa perbuatan ini adalah serius dan tidak boleh diterima.
Salah satu sebab utama mengapa syarikat agensi pelancongan masih berani melakukan perbuatan sebegini ialah kerana kebanyakan kes melibatkan pakej pelancongan yang dikendalikan oleh syarikat sendirian berhad lazimnya diklasifikasikan sebagai pertikaian atau tuntutan sivil, khususnya pelanggaran kontrak.
Apabila sesuatu perkhidmatan gagal dilaksanakan walaupun bayaran telah dibuat, kes ini sering dilihat sebagai isu tuntutan wang semata-mata dan bukannya satu kesalahan jenayah.
Keadaan ini mewujudkan persepsi bahawa risiko undang-undang yang dihadapi oleh syarikat adalah rendah, kerana tindakan sivil lazimnya memakan masa, memerlukan kos guaman yang tinggi dan tidak menjamin pemulangan wang mangsa dalam tempoh singkat.
Dari sudut perundangan jenayah, terdapat satu garisan halus yang memisahkan antara pelanggaran kontrak dan penipuan jenayah.
Penentuan ini bergantung kepada niat syarikat atau individu yang mengawal syarikat tersebut pada masa wang diterima daripada pelanggan.
Jika syarikat atau pengarahnya sudah mengetahui bahawa mereka tidak mempunyai keupayaan kewangan atau logistik untuk melaksanakan pakej yang ditawarkan, namun tetap membuat janji-janji yang mereka sedar tidak mampu ditunaikan semata-mata untuk mendapatkan wang pelanggan, maka perbuatan tersebut bukan lagi sekadar pelanggaran kontrak tetapi telah memenuhi elemen penipuan jenayah, termasuk di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sebaliknya, jika kegagalan berlaku akibat faktor luar jangkaan yang munasabah, barulah ia boleh dikategorikan sebagai isu sivil semata-mata.
Peringkat paling kritikal dalam kes-kes sebegini ialah saringan awal oleh Pegawai Penyiasat Jenayah Komersial PDRM sebaik sahaja laporan polis dibuat oleh mangsa.
Pada peringkat inilah pegawai penyiasat perlu menentukan sama ada kes tersebut mengandungi elemen penipuan jenayah atau sekadar pelanggaran kontrak.
Malangnya, dalam banyak keadaan, jalan yang lebih mudah sering diambil apabila kes ini terus diletakkan di bawah kategori sivil, dan pengadu dinasihatkan untuk melantik peguam serta memfailkan saman sivil di mahkamah.
Pendekatan ini secara tidak langsung menutup ruang siasatan jenayah yang sepatutnya dijalankan sejak awal.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila terdapat kes-kes jenayah komersial yang disalurkan pula kepada jabatan atau agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atas tanggapan yang silap bahawa kes ini hanyalah tuntutan wang dan tidak melibatkan kesalahan jenayah kerana suspek adalah sebuah syarikat.
Hakikatnya, syarikat tidak beroperasi dengan sendirinya. Individu-individu di belakang syarikat itulah yang merancang, mengurus kewangan, membuat keputusan, mengaut keuntungan dan dalam banyak keadaan menggunakan strategi yang bersifat menipu.
Walaupun undang-undang korporat dan Akta Syarikat memberikan perlindungan tertentu kepada individu melalui konsep entiti berasingan, perlindungan ini tidak seharusnya menjadi tiket untuk melepaskan penjenayah daripada liabiliti jenayah.
Peranan polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, sepatutnya menjadi benteng utama dalam melindungi mangsa dan mencegah penipuan berulang.
Polis mempunyai kuasa untuk membuka kertas siasatan, memanggil dan menahan suspek, mengumpul bukti kewangan serta menilai niat sebenar di sebalik penerimaan wang pelanggan.
Hakikatnya, selagi penipuan oleh syarikat dianggap sebagai kes sivil, selagi itulah ia menjadi lesen besar untuk agensi pelancongan menipu orang ramai.
Perlindungan yang diberikan oleh status syarikat sendirian berhad tidak seharusnya disalahgunakan untuk melindungi kegiatan jenayah yang jelas merugikan rakyat.
Memang benar tujuan penubuhan syarikat adalah untuk mengehadkan liabiliti, namun prinsip ini tidak boleh dijadikan perisai untuk mengelak daripada tanggungjawab jenayah.
Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, ia bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat terhadap industri pelancongan, malah menjejaskan keyakinan awam terhadap Polis dan sistem keadilan jenayah negara.
Hanya dengan tindakan yang tegas dan berprinsip barulah masalah penipuan agensi pelancongan dapat dibendung dan keadilan kepada mangsa dapat ditegakkan.

Penulis adalah Peguam dan Penasihat Undang-undang, Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia.
















