Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pahang hari ini

KUANTAN – Dua pegawai dan lima anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang ditahan ekoran disyaki terbabit penyalahgunaan dadah kelmarin kini dikenakan tindakan tatatertib.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua mereka ditukarkan ke bahagian pengurusan sementara menanti keputusan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan mereka ini telah ditugaskan untuk kerja-kerja pejabat buat masa ini.

“Saya bersedih juga dengan kejadian ini. Cuma, kita memang tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat. Seperti yang saya katakan dalam perhimpunan pagi ini, kita tak mahu mereka ni menjadi seperti ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Sebagai benteng pertahanan, kita tak nak ada antara kita terlibat dalam najis dadah ini,” katanya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Kesemua mereka ditahan bersama seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand hasil serbuan polis di sebuah premis perniagaan di Mentakab, Temerloh kira-kira jam 2.15 pagi kelmarin.

Dua pegawai polis ditahan itu berpangkat inspektor serta lima anggota berusia lingkungan 29 hingga 42 tahun, manakala lelaki tempatan dan dua wanita warganegara Thailand pula berumur 22 dan 37 tahun.

Menurut Yahaya, pihaknya akan meneruskan pemeriksaan berkala ujian saringan air kencing dalam kalangan pegawai dan anggotanya bagi mencegah aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Sepanjang tahun 2025, mengikut statistik, seramai 21 orang pegawai dan anggota yang dirujuk ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard kerana terlibat kes berkaitan dadah dan 12 daripada mereka telah dibuang kerja.

“Sebab itu, kita mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat,” tambahnya lagi.

Tegasnya, penyalahgunaan dadah di kalangan warga polis bukan sahaja merosakkan diri dan keluarga, malah ianya satu pengkhianatan kepada amanah rakyat dan kedaulatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast