Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap ketika ditemui wartawan selepas hadir pada Majlis Amanat Tahun Baharu KKDW 2026 di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 JANUARI 2026

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) tidak menjangkakan persaingan sengit pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah meskipun kerusi berkenaan dijangka menyaksikan pertembungan satu lawan satu dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua parti saling mengenali antara satu sama lain dan hubungan yang terjalin juga bersifat persahabatan.

Menurut beliau, keutamaan BN dalam PRK berkenaan adalah memastikan kesinambungan perkhidmatan terbaik yang telah diberikan oleh Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin kepada rakyat di Parlimen Kinabatangan.

“Saya tidak melihat keperluan untuk mengadakan kempen yang terlalu sengit. Kita saling mengenali antara satu sama lain dan hubungan kita juga bersifat persahabatan.

“Kesinambungan (khidmat di Kinabatangan) itu diharapkan dapat diteruskan oleh calon yang diketengahkan, Naim Kurniawan Naim Mokhtar,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN turut menawarkan kerusi DUN Lamag kepada pihak yang pernah menentang sebelum ini untuk bertanding sebagai calon bebas atau menyertai BN.

Menurutnya, langkah itu diambil kerana BN percaya masyarakat setempat tidak wajar terus berpecah dan perlu disatukan demi kepentingan bersama.

Ahmad Zahid turut mengingatkan pada pilihan raya lalu, BN hanya tewas tipis dengan majoriti 153 undi ketika menentang Allahyarham Bung Moktar di kawasan berkenaan.

“Justeru, kita berharap sokongan dapat digembleng semula termasuk daripada penyokong-penyokong BN bagi menyatukan pengundi dan memastikan kemenangan dapat dicapai supaya perkhidmatan terbaik kepada rakyat dapat diteruskan,” katanya.

Sebelum ini, BN memutuskan anak Allahyarham Bung Moktar, Naim Kurniawan Naim Mokhtar sebagai calon Parlimen Kinabatangan manakala DUN Lamag mempertaruhkan Mohd Ismail Haji Ayob.

Media sebelum ini melaporkan, Warisan turut mengesahkan penyertaan dalam PRK berkenaan dengan mempertaruhkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman bagi Parlimen Kinabatangan dan Mazliwati Abdul Malek Chua bagi DUN Lamag. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast