Tekong, awak-awak dan seorang migrain ditahan Maritim Selangor bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 2.5 batu nautika barat Sekinchan.

KUALA LUMPUR – Cubaan membawa keluar migran secara haram tanpa melalui laluan yang diwartakan menggunakan sebuah vesel nelayan tempatan kelas B berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)  Selangor, semalam.

Pengarahnya, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, hasil risikan yang dilakukan, vessel itu ditahan sekitar jam 5 pagi oleh bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 2.5 batu nautika barat Sekinchan.

“Pemeriksaan awal mendapati, vesel terbabit dikendalikan oleh seorang tekong, bersama tiga awak-awak warga Indonesia berusia lingkungan 28 hingga 61 tahun, tidak memiliki permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas vesel tersebut menemukan beg berisi pakaian milik salah seorang daripada mereka, berumur 29 tahun disyaki migran yang cuba diseludup keluar dari Malaysia dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bot tempatan kelas B yang ditahan Maritim Selangor di bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 2.5 batu nautika barat Sekinchan.

Tambah Muhaimin, kesemua tahanan termasuk seorang migran, vesel dan beg berisi pakaian telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

“Kes kini disiasat mengikut dua akta utama iaitu Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) kerana melakukan penyeludupan Migran.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara, khususnya di Selangor, tidak dijadikan lokasi pelanggaran undang-undang oleh mana-mana pihak,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Selangor di 013-6606652 bagi tindakan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast