NIBONG TEBAL – Dua ahli kongsi gelap yang disyaki terbabit dalam serangan berkumpulan bersenjatakan parang di sebuah restoran di Sungai Bakap pada 30 Disember lalu, sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera, disambung reman enam hari lagi.
Perintah reman lanjutan sehingga 12 Januari itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Ainna Ahmad hari ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua lelaki itu, masing-masing berusia 23 dan 36 tahun itu sebelum ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan berpakaian lokap dan diiringi anggota polis.
Sementara itu, seorang lagi lelaki berusia 42 tahun yang sebelum ini parah dalam kejadian itu kini dilaporkan berada keadaan stabil namun masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.
Polis juga masih giat memburu saki-baki suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN
Serangan parang: 10 lagi ahli kongsi gelap ditahan
Dua rakan direman 7 hari kes serangan maut secara berkumpulan
Media sebelum ini melaporkan, masalah hutang dipercayai punca seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera diserang sekumpulan indivudu bersenjatakan parang di sebuah restoran di Sungai Bakap di sini, pada 30 Disember lalu.
Mangsa maut berusia 59 tahun itu dikatakan gagal mencapai persetujuan dalam rundingan pembayaran sebelum diserang sekumpulan geng kongsi gelap yang dikenalinya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail dalam kenyataan berkata, secara keseluruhan seramai 14 suspek yang terdiri daripada ahli kongsi gelap ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Tangkapan kesemua suspek itu dibuat dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar negeri ini dan Perak. – MalaysiaGazette
















