KUALA LUMPUR – Hasrat arwah ibu Puteri Qisya Nur Izzat, remaja yang kehilangan keluarganya dalam tragedi menyayat hati di Sungai Korok, Jitra tahun lalu untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menjadi kenyataan.
Berita gembira itu dikongsikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menghubungi remaja tersebut semalam.
“Saya mengucapkan tahniah kepada adik Qisya kerana berjaya terpilih ke MRSM, satu peluang istimewa memandangkan lebih 100,000 permohonan diterima, namun hanya sekitar 7,000 lebih yang berjaya dan dia antara yang bertuah itu.
“Saya menasihatkan beliau supaya sentiasa yakin bahawa ilmu sahajalah yang mampu mengubah kehidupan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Asyraf Wajdi turut memuji kecekalan Qisya yang kini membantu nenek berniaga roti canai di Pendang sebelum menyambung pelajarannya di MRSM, pada minggu hadapan.
“Jangan lupa membaca al-Quran, memperbanyakkan doa untuk arwah ibu dan ayahnya serta memanfaatkan peluang di MRSM sebagai medan membina masa depan. InsyaAllah, doa kedua ibu bapanya yang telah pergi akan terus mengiringinya,” tambahnya.
Asyraf Wajdi memberi jaminan Mara akan memastikan remaja itu tidak akan tersisih daripada mendapat peluang pendidikan.
“Seperti yang diumumkan sebelum ini, Mara telah mengambil Qisya sebagai anak angkat… Qisya tidak keseorangan, ramai yang sedia membantu dan mendoakannya.
“Semoga Allah memelihara hatinya yang tabah, menerangi perjalanan hidupnya dengan cahaya ilmu dan masa depan yang gemilang. Al-Fatihah buat seluruh keluarga adik Qisya dan semoga syurga menjadi tempat mereka,” katanya lagi.
Puteri Qisya merupakan anak kepada pasangan Allahyarham Mohamad Azim Izat Ishak dan Allahyarhamah Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi yang terkorban dalam kemalangan tragis, pada Julai tahun lalu.
Turut terkorban, empat adik-beradiknya. – MalaysiaGazette















