KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disahkan mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan selepas menjalani pemeriksaan perubatan susulan insiden terjatuh di kediamannya awal pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Sufi Yusoff daripada Pejabat Dr. Mahathir menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.
“Selepas menjalani pemeriksaan perubatan, telah disahkan bahawa Tun mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan,” demikian menurut Sufi.
BACA: PM, isteri doakan kesihatan Tun M
Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir dijangka akan dimasukkan ke hospital bagi tempoh beberapa minggu untuk menjalani rawatan serta pemerhatian lanjut oleh pasukan perubatan.
Dalam pada itu, Sufi turut memaklumkan bahawa insiden tersebut berlaku sekitar 7.30 pagi di kediaman Dr Mahathir.
“Beliau dibawa ke IJN (Institut Jantung Negara) dalam keadaan sedar dan dimasukkan ke hospital sekitar 9.30 pagi,” katanya lagi.
Untuk rekod, pada 13 Julai 2025, bekas Perdana Menteri yang kini berusia 100 tahun itu pernah dikejarkan ke Institut Jantung Negara akibat keletihan namun dibenarkan pulang pada jam 4.45 petang hari yang sama selepas dimasukkan sekitar jam 10 pagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















