KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mencetuskan tanda tanya apabila membuat kenyataan seolah-olah sudah tiba masa untuk dirinya berundur.
Menerusi laman sosial Facebooknya hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, usaha dan apa yang ingin disampaikan telah dilakukan dengan sebaik-baiknya.
Namun, ujarnya, kelemahan mungkin datang daripada beliau sendiri.
“Kita sudah usaha sehabis baik, kita dah sampaikan sehabis baik. Mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri. Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri.
“Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini.
“Saya percaya jika niat kita baik demi agama,bangsa dan tanah air. Insya-Allah waktunya akan sampai jua,” katanya.
Bagaimanapun, Dr. Muhamad Akmal tidak menyatakan dengan jelas pengunduran yang dimaksudkan – sama ada melibatkan jawatan di dalam politik atau – dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang mana beliau merupakan salah seorang Exco.
Sebelum ini, Dr. Muhamad Akmal lantang mendesak supaya UMNO mengkaji semula kedudukan di dalam Kerajaan Perpaduan sehingga menganjurkan konvensyen khas mengenai perkara itu pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam menegaskan, parti itu akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal. – MalaysiaGazette
















