Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mempelawa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyertai semula UMNO.

Malah tawaran menyertai semula UMNO itu turut dibuka kepada semua ahli Bersatu sama ada yang dipecat atau digantung keahlian mereka sebelum ini.

Menurutnya, ia supaya kesatuan orang Melayu dapat dikembalikan semula.

“Bersatulah wahai pemimpin Melayu-Islam, jangan lagi bercakaran. Kita berpecah yang rugi adalah agama dan bangsa kita di tanah air ini, belajarlah dari kesilapan kita sebelum ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu yang bermesyuarat semalam membuat keputusan memecat Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Berdasarkan surat pemecatan itu, tindakan tersebut diambil kerana Saifuddin didakwa melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.

Bagaimanapun, Lembaga Disiplin Bersatu memberi tempoh 14 hari berkuat kuasa pada Selasa untuk Saifuddin mengemukakan rayuan.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan, beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada November tahun lalu, Saifuddin yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu untuk siasatan susulan gesaannya supaya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast