Pelabuhan Kemaman. foto Konsortium Pelabuhan Kemaman

 

KUALA TERENGGANU – Projek pembesaran Pelabuhan Kemaman yang merangkumi tiga komponen utama dijangka siap pada 2028, kata Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kemaman (LPK) Datuk Azan Ismail.

Azan berkata, pihaknya telah mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) akhir Disember tahun lepas bagi memulakan kerja menambak di kawasan berkeluasan 22.66 hektar pada bulan ini.

Menurutnya, proses menambak tersebut dijangka siap pada suku kedua tahun ini, sebelum diteruskan kepada kerja pembesaran dermaga dan pembinaan benteng pemecah ombak yang dijangka menelan kos antara RM1.5 hingga RM1.8 billion.

“Proses penambakan yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM200 juta itu akan menyediakan ruang lebih besar untuk kawasan pelabuhan yang mengendalikan aktiviti kargo, pergudangan dan maritim.

“Di Pantai Timur hanya ada dua pelabuhan komersial iaitu Pelabuhan Kemaman dan Pelabuhan Kuantan yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan maritim. Oleh itu, kerajaan melihat ada keperluan untuk membesarkan kapasiti Pelabuhan Kemaman yang sekian lama menjadi feeder kepada industri minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Back To School anjuran LPK di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga, di sini ,hari ini.

Mengulas lanjut, Azan berkata, pelaburan itu dijangka menjana pertumbuhan nilai pembangunan kasar  (GDV) tiga kali ganda iaitu antara RM6 hingga ke RM7 bilion.

Beliau berkata pembesaran pelabuhan itu juga adalah sebagai persediaan peningkatan operasi apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast