KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dipecat kerana melanggar perlembagaan parti berkait disiplin dan kod etika serta tatakelakuan ahli parti.
Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, Saifuddin telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin (LD) untuk membela diri, justeru ruang yang diberikan itu sepatutnya digunakan sebaik-baiknya.
Katanya, setiap aduan yang dirujuk kepada LD kebiasaannya dikepilkan bersama-sama bukti dan keterangan saksi.
Tambahnya, berdasarkan kefahaman beliau, apabila seseorang dipanggil menghadap LD dengan bukti-bukti dan saksi-saksi yang ada, seseorang itu sebenarnya telah didapati bersalah.

“LD itu adalah peluang untuk menyatakan kenapa seseorang itu tidak boleh dikenakan tindakan disiplin atas kesalahan yang dilakukan.
“Jika peluang itu dipersia-siakan, LD tetap akan membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Tun Faisal Ismail, LD perlu melaksanakan tugas mereka apabila terdapat kes yang dirujuk termasuk mengambil tindakan menyiasat dan mendengar aduan, selaras dengan Fasal 22.5 perlembagaan parti.
Selepas itu, katanya, LD akan membuat keputusan sama ada seseorang itu dibebaskan; diberi amaran; digantung keahlian; dilucutkan jawatan atau dipecat daripada parti.
“Dalam hal ini, Saifuddin adalah seorang dewasa dan merupakan Ahli MPT, beliau sewajarnya sedar dan lebih memahami akibat daripada tindakannya apabila melakukan pelanggaran perlembagaan, peraturan, keputusan-keputusan parti, disiplin dan kod etika dan tatakelakuan ahli parti,” katanya.
Semalam, LD Bersatu membuat keputusan memecat keahlian Saifuddin berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.
Bagaimanapun, Saifuddin menyifatkan pemecatan beliau itu dibuat tanpa melalui perbicaraan yang adil dan akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut. – MalaysiaGazette
















