KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan aset Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit di luar negara.
Difahamkan tindakan itu sebahagian daripada siasatan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuhraya Putrajaya ke KLIA (MEX II).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, operasi pengesanan aset itu melibatkan prosedur yang kompleks di bawah bantuan perundangan bersama antara negara termasuk kerjasama erat dengan Jabatan Peguam Negara.
“SPRM sedang bekerjasama dengan agensi antarabangsa, terutamanya di United Kingdom (UK) bagi mendapatkan kembali aset berkenaan yang dijangka membabitkan jumlah lebih besar daripada yang telah disita sebelum ini,” katanya seperti dilapor media hari ini.

Menurut Azam, SPRM juga telah menyediakan draf permohonan rasmi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan maklumat daripada pihak luar negara termasuk The International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) di UK.
Jelas beliau, usaha berkenaan bertujuan memastikan aset yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit dapat dipulangkan dan dijadikan sebahagian daripada proses perundangan di Malaysia.
Pada 8 September lalu, Abu Sahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini atas empat pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta.
Ia berkaitan projek sambungan MEX II yang menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kes itu menjadi tumpuan kerana melibatkan dana awam yang besar dan projek infrastruktur strategik.
Tahun lalu, SPRM turut menyita pelbagai aset milik Abu Sahid bernilai kira-kira RM32 juta termasuk beg tangan berjenama, barang kemas, kenderaan mewah, jam tangan dan wang tunai.
Dalam operasi sama, pihak berkuasa menemui sebuah stor di salah sebuah kediaman yang menyimpan pelbagai minuman keras mewah dianggarkan bernilai RM3 juta dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram. -MalaysiaGazette















