KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) Perlis mempersoalkan keupayaan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang turut menggalas sekurang-kurangnya enam portfolio kerajaan negeri yang lain.
Ketuanya, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad berkata, ia menimbulkan persoalan sama ada Abu Bakar benar-benar yakin atau sebenarnya tidak memahami bagaimana sebuah pentadbiran negeri sewajarnya diuruskan.
Jelasnya, jawatan dan kuasa di bawah sebuah kerajaan negeri sepatutnya diagih-agihkan dan dibuat keputusan secara berjemaah, bukannya dilonggokkan kepada hanya seorang individu.
“Rakyat Perlis tak minta Menteri Besar jadi serba boleh. Kami cuma nak pemimpin yang tau kerja dan tau had diri. Kami cuma nak keputusan yang betul, tepat dan dibuat dengan faham apa kesannya kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, laman Facebook Pejabat SUK Perlis hari ini berkongsi info grafik berkenaan portfolio yang disandang Abu Bakar selain Menteri Besar iaitu turut bertanggungjawab ke atas Pentabiran dan Kewangan; Pelaburan dan Ekonomi serta Tanah dan Sumber Asli.
Selain itu, Abu Bakar turut menggalas portfolio Pelancongan dan Seni Budaya, Infrastruktur dan Kemajuan Luar Bandar serta Keselamatan dan Hubungan Sempadan turut diletakkan di bawah Abu Bakar.
Sementara itu, Ahmad Fadhzil berkata, portfolio Pentadbiran dan Kewangan bukan tanggungjawab kecil sebaliknya setara dengan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan.
Selain itu, ujarnya, portfolio Pelaburan dan Ekonomi pula memerlukan kefahaman dasar, pasaran, pelabur dan hala tuju jangka panjang, setaraf Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) dan Kementerian Ekonomi.
Bagi potfolio Tanah dan Sumber Asli pula, ujarnya, ia melibatkan undang undang, kelestarian dan konflik kepentingan, manakala Pelancongan dan Seni Budaya memerlukan visi dan strategi.
Dalam masa sama, portfolio Infrastruktur serta Kemajuan Luar Bandar melibatkan perancangan teknikal dan projek bernilai ratusan juta, manakala portfolio Keselamatan dan Sempadan menyentuh soal kedaulatan dan ketenteraman awam.
“Semua ini bukan portfolio ringan. Di Kerajaan Persekutuan, tanggungjawab ini dipecahkan kepada ramai menteri. Setiap seorang ada timbalan, kementerian penuh, pegawai profesional dan pasukan teknikal yang besar.
“Tapi di Perlis, semua dikumpulkan pada seorang,” katanya.
Sehubungan itu, tegas Ahmad Fadhzil, penduduk Perlis menentang sekeras-kerasnya pembolotan kuasa seperti itu, yang disifatkan dangkal dalam membuat keputusan.
Ujarnya, negeri Perlis bukan milik seorang, justeru kuasa tidak boleh disimpan, tetapi diurus dengan amanah.
“Kalau masih ada sikit ruang untuk muhasabah, turunkan ego, agihkan portfolio dan betulkan cara mentadbir. Perlis ini memang negeri kecil, tapi bukan medan uji kaji. Orang Perlis mungkin rileks tapi bukan tak faham,” katanya. – MalaysiaGazette
















