PASIR GUDANG – Seramai 155 peserta antarabangsa mewakili enam benua dari 56 negara bakal memeriahkan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Ke-28 di Bukit Layang-Layang di sini pada 4 sehingga 8 Februari ini.
Dianggarkan sekitar 650,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang penganjurannya, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada peningkatan pelancongan domestik dan antarabangsa.
Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Datuk A. Rahim Nin berkata, festival yang dianjurkan secara konsisten sejak 1995 itu kini menjadi antara acara pelancongan ikonik atau ‘signature event’ bagi Johor.
Menurut beliau, Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang bukan sekadar acara rekreasi, malah berfungsi sebagai platform penting dalam mempromosikan Johor dan Malaysia di peringkat global.
“Penganjuran festival ini setiap tahun memberi impak besar kepada industri pelancongan negara, selain mengeratkan hubungan budaya dan persahabatan antara negara yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah di sini kelmarin.
Beliau berkata, edisi ke-28 festival berprestij itu diiktiraf sebagai festival layang-layang terbesar di Malaysia dan dianjurkan bersempena Tahun Melawat Johor 2026 serta Tahun Melawat Malaysia 2026, selari dengan aspirasi memperkukuh kempen pelancongan negara.
Festival itu merupakan anjuran kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dengan kerjasama Persatuan Pelayang Johor (PPJ), Tourism Johor dan Majlis Pelayang Malaysia (MPM).
Edisi kali ini akan menghimpunkan 155 pelayang antarabangsa, selain penyertaan 100 pelayang tempatan di bawah gabungan MPM.
Mengulas lanjut, Rahim berkata buat julung kali, pelayang-pelayang dari seluruh negara akan dijemput menyertai Malaysia Open Sports Kite Competition Pasir Gudang 2026 yang dipertandingkan menerusi beberapa kategori.
Penganjuran festival ini ujarnya, dijangka terus mengukuhkan kedudukan Pasir Gudang sebagai destinasi pelancongan acara bertaraf antarabangsa, selain menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan imej Johor di mata dunia.- MalaysiaGazette
















