GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kebimbangan serius terhadap kemerosotan mendadak populasi Harimau Malaya yang kini dianggarkan kurang daripada 150 ekor di habitat liar sekali gus meletakkan spesies ikonik negara itu di ambang kepupusan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kehilangan setiap ekor harimau bukan sekadar kepupusan spesies sebaliknya menandakan kegagalan melindungi ekosistem dan warisan negara yang menjadi simbol kekuatan serta identiti Malaysia.
Beliau menegaskan, krisis itu bukan sekadar isu pemuliharaan malah merupakan krisis nasional dengan implikasi besar terhadap kestabilan ekologi termasuk kawalan sumber air, biodiversiti, daya tahan iklim dan sumber semula jadi.
“Kemerosotan populasi Harimau Malaya berpunca daripada kemusnahan dan pemecahan habitat akibat penukaran guna tanah untuk pertanian, perumahan, infrastruktur serta pembangunan industri.
“Selain itu, ancaman pemburuan haram, penyusutan spesies mangsa, konflik manusia-harimau dan kematian akibat kemalangan jalan raya turut menjadi punca haiwan itu pupus.
“Antara 2023 hingga 2024 sahaja, enam kematian harimau dilaporkan akibat dilanggar kenderaan, manakala satu kes tahun lalu bangkai harimau ditemui dengan enam kesan tembakan di kepala yang disorok dalam but kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohideen turut menyorot perdagangan haram kulit, gigi dan bahagian harimau yang masih berleluasa termasuk penjualan secara dalam talian didorong kepercayaan budaya tertentu yang menganggap barangan itu sebagai lambang kekuatan, perlindungan atau tuah walaupun tiada asas saintifik.
“Pembinaan jalan dan lebuh raya merentasi hutan mencetuskan rantaian kemusnahan termasuk pembalakan, peluasan pertanian dan penempatan baharu, sekali gus memaksa hidupan liar keluar dari habitat asal dan meningkatkan konflik dengan manusia.
“Walaupun mengiktiraf usaha NGO, komuniti Orang Asli dan agensi kerajaan termasuk angkatan bersenjata, polis serta Jabatan Perhutanan, namun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) melaporkan peningkatan pemburuan haram pada 2024 khususnya ketika musim perayaan, melibatkan spesies mangsa harimau seperti rusa dan kijang serta burung enggang,” katanya.
Mwngulas lanjut, Mohideen mempersoalkan keupayaan memulihkan populasi Harimau Malaya daripada 150 kepada 400 ekor menjelang 2030 seperti disasarkan.
“Penyelamatan spesies itu memerlukan kemahuan politik, penguatkuasaan lebih tegas, peruntukan mencukupi, pembanterasan rasuah dalam rangkaian jenayah hidupan liar, perlindungan habitat yang lebih baik serta penglibatan komuniti Orang Asli.
“Malaysia tidak boleh mendakwa kepimpinan dalam perlindungan alam sekitar global jika gagal melindungi spesies paling ikonik di negara sendiri.
“Jika harimau pupus, ia bukan kerana kita tidak tahu, tetapi kerana kita gagal bertindak secukupnya,” katanya. – MalaysiaGazette















