Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR –  Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegur individu yang merakam video memaparkan reka bentuk pentas konsertnya yang masih belum siap.

Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, menjelaskan rakaman itu boleh mengelirukan orang ramai dan mencetuskan persepsi tidak tepat mengenai konsert berkenaan.

Penyanyi itu memohon agar peminat tidak membuat spekulasi berhubung rakaman awal lokasi Konsert Legasi 30 Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung pada 10 Januari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

“Ini yang saya marah bila suka-suka masuk dan buat video. Semua belum siap dan yang menonton video ini pun tidak perlu membuat penilaian awal,” katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna TikTok memuat naik video yang memaparkan persiapan konsert di SNBJ sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.

Antara komen yang diterima termasuk mengenai saiz paparan skrin dan pentas yang dilihat terlalu kecil berbanding kapasiti stadium tersebut.

Sementara itu, Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza dianjurkan bagi meraikan perjalanan seni penyanyi berkenaan selama tiga dekad dalam industri muzik tanah air.

Dijangka lebih 63,000 peminat akan hadir menyaksikan konsert berkenaan yang turut menampilkan beberapa penyanyi popular dari Malaysia dan Indonesia sebagai artis undangan, termasuk Cakra Khan, Hafiz Suip, Noh Salleh dan Umairah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast