Dr. Mohamad Fauzan Noordin

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperuntukkan RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif Dapur Siswa Madani di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meringankan kos sara hidup pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Inisiatif nasional tersebut dilihat selari dengan komitmen berterusan UIAM dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa terpelihara, khususnya melalui pelaksanaan program bantuan makanan sedia ada seperti Mahabbah Food dan Food Bank UIAM serta pelbagai inisiatif kebajikan berasaskan komuniti di peringkat kampus.

Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM, Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin, menyifatkan pengumuman tersebut sebagai langkah strategik dan tepat pada masanya dalam menangani isu keselamatan makanan dalam kalangan mahasiswa, terutamanya pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.

“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pelajar dan pada masa yang sama memperkukuh usaha universiti seperti UIAM yang telah lama melaksanakan program bantuan makanan secara sistematik dan berterusan,” katanya.

Program-program bantuan ini diuruskan oleh Unit Pengurusan Kebajikan (Welfare Management Unit – WMU) di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan (STADD) UIAM, juga disokong melalui sumbangan dan kempen dana komuniti bagi memastikan kesinambunganpelaksanaannya.

“UIAM terus komited menjaga kebajikan pelajarnya menerusi pelaksanaan inisiatif-inisiatif bantuan lain, antaranya ialah program utama universiti iaitu Mahabbah Food UIAM, program bantuan makanan percuma untuk meringankan beban kewangan pelajar serta memastikan keperluan nutrisi harian mereka sentiasa terjamin,” ujar beliau lagi.

Banyak program-program lain turut berjalan dalam masa yang sama di semua kampus-kampus UIAM termasuk penyediaan Kupon Makanan yang boleh digunakan di kafeteria semua UIAM, selain program Food Corner juga diadakan dengan menawarkan makanan dan minuman tengah hari percuma pada setiap hari Rabu dari jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang.

Mahabbah Food Bank turut disediakan kepada pelajar B40 terpilih dan diagihkan beberapa kali dalam sebulan atau setiap semester.

Selain itu, bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan, Mahabbah Food turut menganjurkan Program Ramadan yang menyediakan juadah berbuka puasa secara bufet percuma kepada pelajar sepanjang bulan mulia tersebut.

“Program seperti Mahabbah Food bukan sekadar menyediakan bantuan makanan, tetapi turut menjadi platform pembentukan nilai ihsan, solidariti sosial dan penglibatan komuniti dalam kalangan warga kampus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast