Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki terbaring seakan tidur selepas motosikal ditunggang melanggar sebuah kereta di Jalan Masai Lama, Pasir Gudang, kelmarin.

PASIR GUDANG – Tular video seorang lelaki warga asing seakan ‘sedang berehat sambil baring’ atas bonet kereta yang dirempuhnya  dari depan gara-gara menunggang motosikal melawan arus di Jalan Masai Lama di sini, kelmarin.

Rakaman papan pemuka kereta berdurasi 31 saat itu memaparkan sebuah motosikal datang dari arah bertentangan menyebabkan pemandunya tidak sempat mengelak lalu melanggarnya.

Selepas motosikal tersebut melanggarnya, penunggang terbabit  kelihatan seperti sedang mabuk terus baring dalam keadaan mengiring seakan tidur atas bonet kereta berkenaan.

Kemalangan yang tular itu kemudian dilaporkan kepada pihak polis melibatkan kereta Volkswagen GTI warna kelabu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dengan motosikal Honda Wave ditunggang lelaki asing berusia 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 10.30 malam kelmarin semasa kereta itu datang dari arah Jalan Permas Jaya ke Taman Desa Jaya.

“Apabila sampai di lokasi kejadian ketika sedang memandu di lorong kanan, tiba-tiba datang motosikal dari arah bertentangan secara menyongsang arus telah bertembung dengan kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami kecederaan dan dibawa dengan ambulans ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk menerima rawatan.

Katanya, pemandu kereta tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan, siasatan dijalankan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987.

Mohd. Sohaimi meminta maklumat daripada kejadian untuk memberi maklumat kepada pihak polis menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast