JOHOR BAHRU – Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Datuk Faridah P. Hamsa melakar sejarah apabila menerima anugerah Wanita Ikon Antarabangsa 2025 (Kategori Personaliti) daripada kerajaan Singapura baru-baru ini.
Beliau dikurniakan anugerah tersebut dalam majlis Women Empowerment Singapore (WES) di DeHall Singapura yang berlangsung di republik tersebut bulan lalu.
Faridah yang merupakan aktivis masyarakat, antara 80 penerima melibatkan tokoh dan usahawan wanita berjaya dari beberapa negara Asia yang menerima anugerah tersebut.
Anugerah tersebut diberikan atas sumbangan dan kepimpinan beliau dalam memperjuangkan agenda pemeriksaan wanita dan kesejahteraan masyarakat.
Faridah ketika ditemui bersyukur atas anugerah tersebut yang disifatkan bukan sahaja sebagai satu pengiktirafan tetapi motivasi untuk terus memberi inspirasi, memperkasa wanita dan memberi impak positif di peringkat antarabangsa.
“Anugerah ini saya dedikasikan kepada semua wanita yang berani bermimpi, bangkit daripada cabaran dan terus melangkah walau dalam kesukaran. Terima kasih kepada keluarga, rakan seperjuangan dan semua pihak yang sentiasa menyokong dan mendoakan saya.
“Ia adalah peringatan bahawa setiap wanita mempunyai kekuatan luar biasa dalam diri mereka,” katanya.
Menurutnya, anugerah itu bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi satu amanah untuk terus memberi inspirasi serta mendedikasikannya kepada semua wanita yang pernah merasa kecil, pernah jatuh dan pernah hilang arah tetapi memilih untuk bangkit semula.
“Kita tidak perlu menjadi sempurna untuk menjadi luar biasa. Kita hanya perlu berani untuk tidak berputus asa. Latar belakang, kekangan atau dugaan bukan penghalang untuk wanita mencipta perubahan, sebaliknya boleh menjadi pembakar semangat untuk membina masa depan yang lebih bermakna.
“Anugerah ini mengiktiraf usaha konsisten saya dalam bidang kepimpinan, kebajikan sosial dan pembangunan komuniti khususnya dalam memperjuangkan peranan wanita agar lebih berdaya saing, berkeyakinan dan berdikari.
“Ini juga bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi satu simbol harapan dan kekuatan wanita yang berani melangkah walaupun berdepan pelbagai cabaran,” ujarnya.
Beliau berharap anugerah itu juga dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama global serta memberi inspirasi kepada generasi wanita masa depan untuk tampil sebagai pemimpin yang berintegriti, berempati dan berwawasan.
Faridah menegaskan bahawa setiap wanita mempunyai potensi untuk memimpin, memberi inspirasi dan mencipta impak, bukan sahaja dalam keluarga dan komuniti, malah di peringkat global.
“Anugerah ini diharapkan dapat menyuntik semangat kepada lebih ramai wanita untuk berani melangkah keluar daripada ketakutan dan menjadi suara kepada perubahan yang positif,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















