Program gunting rambut percuma anjuran NGO Al-Iqtan Care di perkarangan surau perumahan Bukit Rangin Perdana 2, Kuantan hari ini dapat sambutan.

KUANTAN – Kira-kira 100 orang kanak-kanak berusia antara enam hingga 13 tahun mendapat manfaat menerusi inisiatif menganjurkan program gunting rambut percuma oleh badan bukan kerajaan (NGO) Al-Iqtan Care hari ini.

Program itu dijalankan di dua lokasi iaitu di FELDA Bukit Sagu sejak pagi tadi manakala selepas solat Jumaat pula, program sama diadakan di perkarangan surau perumahan Bukit Rangin Perdana 2 di sini.

Pengerusi Al-Itqan Care, Muhammad Alif Zainuddin berkata, inisiatif itu dilakukan menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu minggu depan dan mendapat kerjasama dan sumbangan daripada ahli NGO terbabit.

“Kita melihat kepada keperluan dalam pemilihan lokasi penganjuran program. Macam sebelah pagi kita mulakan di FELDA Bukit Sagu dan petang pula kita singgah di sini.

“Untuk program ini pun kita berhubung dengan pemimpin setempat bagi mengenal pasti golongan sasar dan memerlukan khidmat seperti gunting rambut untuk anak-anak mereka,” katanya.

Pengerusi Al-Itqan Care, Muhammad Alif Zainuddin

Program itu dibantu tukang gunting mahir daripada Hudbaba Academy dari Indera Sempurna.

Seorang suri rumah, Norsazidah Mohamed, 42, yang menyertai program itu memberitahu, usaha yang dilakukan Al-Itqan Care  memberi manfaat terutamanya kepada ibu-bapa yang mempunyai anak yang ramai.

“Macam saya ada tiga anak yang bersekolah, seorang itu perempuan jadi tak perlulah gunting rambut tapi dua orang lagi, memang tiap kali nak buka sekolah, kena cari juga tempat untuk gunting rambut, biasanya dalam RM45 kami belanjakan untuk mereka.

“Jadi, bila ada usaha dilakukan Al-Itqan ini, boleh bantu ringankan sikit beban… gunting rambut lagi, belum persiapan lain, jadi memang ringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Norsazidah Mohamed

Difahamkan kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam program itu telah berdaftar dengan pihak Al-Iqtan Care terlebih dahulu.

Namun terdapat juga ibu-bapa tidak membuat janji temu dan datang terus membawa anak masing-masing untuk mendapatkan perkhidmatan potong rambut secara percuma itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast