KUALA LUMPUR – Saluran untuk menentukan siapa yang layak memimpin UMNO adalah melalui pemilihan parti, bukan sekarang atau di medan awam.
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, tugas ahli-ahli UMNO ketika ini adalah jelas iaitu fokus berdepan pihak lawan, bukan melemahkan rakan sepasukan sendiri.
Ujar beliau, setiap perbandingan, sindiran dan pertikaian terbuka sesama ahli UMNO hanya menguntungkan pihak lawan yang bijak memerhati dan memanipulasi perpecahan dalaman.
“UMNO tidak lemah kerana kekurangan pemimpin, tetapi UMNO boleh menjadi lemah apabila ahlinya terikut-ikut naratif musuh, seolah-olah lupa siapa lawan sebenar dan siapa keluarga sendiri.
“Berbeza pandangan itu biasa, tetapi membakar rumah sendiri ketika musuh sedang menunggu di luar pagar adalah satu kecuaian strategik,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk menambah, disiplin, kesetiaan dan kematangan politik menuntut ahli-ahli UMNO menyimpan perbezaan pada waktunya, dan menguatkan barisan ketika perjuangan sedang berjalan.
“Jangan biarkan emosi mengatasi kebijaksanaan. Jangan biarkan suara luar menentukan arah dalaman kita.
“Ingat satu perkara, UMNO menang apabila semua peringkat ahli UMNO bersama. UMNO kalah apabila ada percubaan menjatuhkan pasukan sendiri dengan bantuan pihak luar,” katanya. – MalaysiaGazette
















