KUANTAN – Kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengatakan urusan pentadbiran lebih mudah dengan kehadiran Exco DAP, tidak perlu disalah tafsir.
Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kenyataan tersebut perlu difahami mengikut konteks pentadbiran dan keperluan dalam memastikan kelancaran urusan kerajaan negeri, bukan sebagai satu penilaian terhadap nilai atau sumbangan mana-mana parti politik.
“Menteri Besar memikul tanggungjawab besar untuk memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat Pahang.
“Dalam proses tersebut, pengalaman bekerjasama dengan pelbagai pihak sudah tentu berbeza mengikut situasi, masa dan isu yang dihadapi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Semalam, Wan Rosdy dilaporkan berkata selama tiga tahun kerajaan perpaduan dibentuk di Pahang, kadangkala urusan pentadbiran lebih mudah dilakukan dengan kehadiran Exco daripada DAP berbanding dengan MCA.
Beliau berkata demikian menjawab kritikan bahawa kerajaan perpaduan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pahang bersifat sekular serta tidak menjaga kebajikan orang Melayu dan umat Islam.
Katanya, ia tidak berlaku di Pahang, sebaliknya Exco DAP dalam kerajaan negeri sering memberi sokongan dan nasihat yang baik dalam pentadbiran.
Bagaimanapun, kenyataannya itu dipersoal MCA Pahang yang beranggapan ia memberi gambaran negatif terhadap parti itu.
Sementara itu, Shahaniza berkata, UMNO Pahang terus menyokong kepimpinan Menteri Besar dalam menerajui kerajaan negeri, khususnya dalam usaha mengekalkan kestabilan politik, keharmonian antara kaum dan keberkesanan pentadbiran.
Dalam masa yang sama, katanya UMNO Pahang juga menghormati peranan semua rakan politik yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Perbezaan pandangan dan pengalaman tidak seharusnya ditafsir sebagai menafikan jasa atau kedudukan mana-mana pihak,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















