KUALA LUMPUR – Belum pun reda salah laku rasuah melibatkan agensi keselamatan kini timbul pula dakwaan sama berlaku dalam proses kelulusan projek dan program berkaitan perfileman membabitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Pengarah Filem, Murali Abdullah mendakwa, amalan rasuah itu bukan perkara baharu bahkan ia semakin ketara semasa negara dilanda pandemik Covid-19 pada 2021 didakwa didalangi pegawai pengurusan tinggi FINAS dikenali sebagai Mr R.
Lebih mengejutkan, kata Murali, Mr R didakwa meluluskan geran berjumlah RM60,000 bagi program latihan berkaitan perfileman secara dalam talian di antara dua hingga enam jam setiap sesi.
“Paling saya terkejut dalam bidang latihan (perfileman) ada pada 2021 semasa Covid-19, FINAS ada mengeluarkan geran untuk mengajar secara dalam talian.
“Individu ini yang bekerja di FINAS bernama Mr R, dia telah meluluskan dana sebanyak RM60,000 dan selalunya dana lebih kurang RM50,000 sahaja tetapi dia lepaskan RM60,000.
“Saya terbaca di sebuah portal media di mana ketua pegawai eksekutif FINAS sekarang berkata, saya beri maklumat salah bukan RM60,000 tapi dia kata antara RM15,000 hingga RM30,000.
“Kalau mengajar dalam talian pakai komputer, kenapa kosnya tinggi sangat sampai RM15,000? Nak bayar jurucakap atau cikgu dia? Kalau kamu ada PhD pun baru RM300 sejam,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Murali yang berkecimpung dalam dunia perfileman lebih 36 tahun itu juga mempersoalkan kegagalan Jabatan Integriti FINAS untuk menyoal siasat Mr R yang masih bertugas di agensi di bawah Kementerian Komunikasi itu.
“Bila disoal siasat oleh Jabatan Integriti FINAS, Mr R itu tidak mahu bekerjasama hanya kerana pangkat pegawai itu lebih rendah daripada dia, sebab dia gred (perjawatan) lain, itu yang diberitahu kepada saya.
“Sehingga ke hari ini, tiada siapa yang soal siasat dia, Mr R pula masih bertugas di FINAS, sebenarnya kami sudah dengar banyak cerita tentang Mr R berkaitan amalan rasuah.
“Mr R ini pandai play safe tetapi bila Jabatan Integriti FINAS sendiri tanya, kenapa dia bagi banyak dana, sampai sekarang dia tak mahu jawab, dia larikan diri,” dakwa Murali.
Selain itu, Murali mendesak CEO FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib untuk mendedahkan maklumat syarikat yang diberikan dana latihan perfileman dalam talian antara RM15,000 hingga RM30,000 tersebut.
“CEO sekarang kena jawab, kenapa dia sendiri buka mulut, saya cakap salah, dia kata, RM15,000 ke RM30,000 dia kata saya salah RM60,000 tak apalah.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya nak tanya kenapa sampai RM15,000 untuk satu kelas dalam talian, kenapa mahal sangat, kamu pun pernah buat kelas dalam talian, saya pun sama, tak sampai RM1,000 pun kadang-kala kita bagi percuma.
“Kenapa sampai RM15,000 hingga RM30,000 dan syarikat mana yang dapat? Kalau dia betul-betul nak buat kajian dan penyelidikan, tapi beritahu kita rakyat syarikat mana yang dapat geran sebanyak ini,” katanya.
Murali yang enggan mendedahkan sumbernya memberitahu, maklumat mengenai dakwaan amalan rasuah di dalam FINAS itu boleh dipercayai dan tidak menolak beliau dan sumbernya sedia mendedahkan bukti kecurangan dana kerajaan itu.
“Saya dapat maklumat daripada sumber-sumber yang boleh saya percayai, saya ini pengarah filem, saya tak akan mereka cerita, saya bukan pengarah komedi boleh reka-reka, ini perkara serius, kita ada skrip, kita kena ikut.
“Saya pun tahu ini (pendedahan) berisiko bila saya buka mulut, takkan saya nak bunuh diri. Paling tinggi habis pun FINAS akan ambil tindakan sivil ke atas saya.
“Saya lebih suka pergi ke mahkamah sebab bila di mahkamah, semua (dalang) tak boleh lari lagi, semua rahsia keluar,” katanya.
Ditanya tentang risiko yang bakal menimpa dirinya apabila membuat pendedahan itu, Murali berkata, beliau menyuarakan perkara itu kerana FINAS sepatutnya menjadi tulang belakang kepada industri perfileman negara.
“Biar kerajaan dan Perdana Menteri kita sekarang tahu berapa sengetnya FINAS yang sepatutnya menjadi tulang belakang kita, kami orang filem, tulang belakang kami adalah FINAS.
“Kalau FINAS tak boleh buat kerja, kalau tak boleh nak atasi perkara-perkara ini, lebih baik tutup sahaja FINAS, kita lagi okay.
“Saya marah sebab kita punya industri perfileman sekarang di peringkat yang sangat teruk, kita berada di bawah Kampuchea. Dulu kita nombor satu di Asia Tenggara, kita lagi tinggi daripada Thailand dan Indonesia, sekarang kita jauh ketinggalan ke belakang, kenapa kita tak sedar perkara itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















